PETUNJUKKAN menyelamat dan memadamkan kebakaran oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Majlis Perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Hari Jubli Perak Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam. FOTO Danial Saad
PETUNJUKKAN menyelamat dan memadamkan kebakaran oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Majlis Perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Hari Jubli Perak Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kerajaan meluluskan peruntukan RM57.695 juta bagi meningkatkan fasiliti Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun 2024.

Peruntukan itu adalah projek sambungan pembinaan Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Subang membabitkan bangunan pentadbiran, hangar, sektor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat dan kemudahan lain berjumlah RM10 juta.

Manakala RM1.2 juta diperuntukkan bagi projek sambungan perolehan peralatan khas menyelamat helikopter membabitkan 10 unit payung terjun dan satu set 'Underslung Tactical Rescue Platform' di samping RM46.495 juta pula untuk projek fizikal penyelenggaraan helikopter dan 'aircraft refueller'.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peruntukan itu diberikan bagi memastikan fungsi dan peranan penting Unit Udara dan Pangkalan Udara JBPM dapat ditingkatkan.

"Selain itu, KPKT juga kini dalam usaha membuat permohonan bagi perolehan empat helikopter baharu, masing-masing dua unit bagi pelaksanaan penerbangan 'Emergency Medical Air Rescue Services' (EMARS) dan dua unit untuk penggantian bagi kegunaan JBPM.

"Walaubagaimanapun, KPKT dan JBPM masih dalam proses melaksanakan kajian Analisis Kos dan Faedah (CBA) bagi cadangan terbabit selaras dengan ulasan yang diberikan oleh Kementerian Ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Juli Perak 25 Tahun Penubuhan Bahagian Udara JBPM Bertam, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.

Katanya, JBPM mempunyai tiga pangkalan udara yang berpusat di Subang (Wilayah Tengah), Bertam (Wilayah Utara) dan Miri (Wilayah Sarawak).

"JBPM turut merancang untuk memohon pembinaan beberapa lagi pangkalan udara baharu bagi Zon Selatan, Zon Timur dan Sabah dengan mengambil kira keperluan mengikut keutamaan dan keadaan kewangan semasa," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, di awal pengoperasian, semua pesawat milik JBPM dikendalikan oleh kru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pasukan teknikal Airod Sdn Bhd.

Menurutnya, Unit Udara JBPM terus berkembang dan menerima tujuh pesawat baharu bermula dengan satu unit Agusta A109E (2003), dua unit MI-171 (2005), dua unit Agusta AW139 (2010) dan dua unit Agusta AW189 (2018).

"Sehingga hari ini Unit Udara JBPM mempunyai sembilan helikopter untuk digerakkan bagi operasi kebombaan dan penyelamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 2:40 PM