TUANKU Syed Sirajuddin menyampaikan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra kepada Mohamad Ridzuan (gambar kiri) dan Abdul Latif. FOTO Azhar Ramli
TUANKU Syed Sirajuddin menyampaikan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra kepada Mohamad Ridzuan (gambar kiri) dan Abdul Latif. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


DUA atlet Perlis yang menyumbang pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 menerima Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), di Istana Arau, di Arau, hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengurniakan anugerah itu kepada Abdul Latif Romly, 20, dan Muhammad Ridzuan Muhamad Puzi, 30, yang menyumbang emas masing-masing dalam acara lompat jauh T20 dan acara 100 meter T36.

Abdul Latif ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur kerana pengorbanan beliau bersama Muhammad Ridzuan mendapat pengiktirafan tinggi daripada Raja Perlis.

Katanya, anugerah itu mencetuskan semangat mereka berdua dalam mengharungi Sukan Para ASEAN 2017 yang bakal berlangsung September ini.

“Insya-Allah emas yang dimenangi pada edisi sebelum ini akan dipertahankan. Mengenai penyertaan dalam Sukan SEA, saya tidak menjanjikan emas kerana ini kali pertama saya menyertainya, bagaimanapun saya akan cuba mengatasi catatan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan juga bertekad mempertahankan emas yang dimenangi pada temasya di Singapura dua tahun lalu.

“Saya akan cuba sedaya upaya mempertahankan emas demi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

ABDUL Latif (kiri)  dan Mohamad Ridzuan bersama Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra. FOTO Azhar Ramli
ABDUL Latif (kiri) dan Mohamad Ridzuan bersama Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra. FOTO Azhar Ramli

Selain dikalungkan pingat oleh Raja Perlis, kedua-dua atlet paralimpik ini juga menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM6,000 setiap seorang.

Sebelum ini, kedua-dua atlet paralimpik ini menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri Perlis iaitu ganjaran RM100,000 serta sebuah rumah setiap seorang bernilai RM300,000 atas kecemerlangan mereka dalam arena sukan di peringkat dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 6:03 PM