NUR Farhanah (kanan) bersama pelajarnya, (dari kiri) Yong Li, Ren Wei dan Hui Taou.
NUR Farhanah (kanan) bersama pelajarnya, (dari kiri) Yong Li, Ren Wei dan Hui Taou.
Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan muncul johan Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2016 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Kejayaan sekolah yang diwakili tiga pelajar perempuan, Kok Hui Taou, Tan Yong Li dan Eleana Kang Ren Wei, masing-masing berusia 16 tahun itu sekali gus menewaskan 15 lagi peserta sebaya mereka daripada tiga sekolah yang bertanding pada peringkat akhir.

Hui Taou berkata, dia dan rakannya tidak menyangka diumumkan pemenang selepas 10 hari melalui pelbagai kuiz dan projek sains, metoldologi penyelidikan, penghasilan aplikasi dan perlumbaan kembara yang menguji pengetahuan kimia, biologi dan fizik sepanjang 10 hari sebelum layak ke peringkat akhir semalam.

“Sebelum layak ke peringkat akhir, kami bersaing dengan 15 pasukan dianggotai 45 peserta mewakili sekolah masing-masing sehingga layak menjadi empat pasukan ke peringkat akhir.

“Kini, kami gembira dan tidak sabar untuk merasai hadiah kemenangan yang melayakkan kami ke Stockholm, Sweden, bagi menyaksikan Majlis Anugerah Hadiah Nobel,” katanya pada majlis penyampaian hadiah di UKM, di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau.

Turut hadir, Presiden Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi ExxonMobil Malaysia See Kok Yew dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Kemenangan itu juga sekali gus melayakkan ketiga-tiga pelajar berkenaan dan guru mentornya Nur Far hanah Mohamed Ibrahim masing-masing membawa pulang i-Pad Mini dan sijil penyertaan selain Trofi Cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah, MRSM Tun Abdul Razak, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Terengganu yang semua 15 peserta berpeluang menyertai lawatan sambil belajar Program Pertukaran Sains SAKURA di Tokyo Jepun yang ditaja Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST).

Terdahulu Madius dalam ucapannya berkata, NSC 2016 yang dianjurkan sejak 1983 adalah satu usaha Malaysia melahirkan modal insan berkualiti yang dapat menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Usaha ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pelajar daripada 10,173 sekolah di seluruh negara.

“Diharapkan pertandingan ini juga menjadi platform utama untuk memupuk, menggalakkan minat pelajar sekolah dalam bidang STEM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 8:52 AM