YAKUB Khan (kiri) bersama Bacho Pilong (tengah) teruja dengan model Intelligent Trap (i-Trap) yang dihasilkan oleh murid Tahun 4 dari SJK Cina Sin Boon, Sindumin, Sipitang, Jyvea Izraeylnie Jamrylazaru ketika melawat pameran selepas hadir di Majlis Pra-Pelancaran Pusat Sains Tawau dan Sandakan di Dewan Amer Bek, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. FOTO Mohd Adam Arinin
YAKUB Khan (kiri) bersama Bacho Pilong (tengah) teruja dengan model Intelligent Trap (i-Trap) yang dihasilkan oleh murid Tahun 4 dari SJK Cina Sin Boon, Sindumin, Sipitang, Jyvea Izraeylnie Jamrylazaru ketika melawat pameran selepas hadir di Majlis Pra-Pelancaran Pusat Sains Tawau dan Sandakan di Dewan Amer Bek, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau. FOTO Mohd Adam Arinin
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pembinaan dua Pusat Sains masing-masing di Tawau dan Sandakan membabitkan kos RM10.2 juta dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024.

Usaha sama antara Petronas dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu bakal memberi akses dan peluang pembelajaran di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, guru dan penduduk setempat ke arah pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, inisiatif pembinaan dua pusat sains itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam melengkapkan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang STEM, selain memupuk komuniti intelektual, kreatif dan inovatif.

"Pusat Sains ini akan menjadi satu platform bagi pelajar di Pantai Timur Sabah, untuk mengenal dan mendalami ilmu STEM, melalui kaedah interaktif yang canggih tanpa perlu ke Petrosains Playsmart di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

"Melalui platform ini juga, minat terhadap STEM dalam kalangan anak Sabah diharapkan dapat disemai dan seterusnya mendorong mereka untuk memilih kerjaya berkaitan STEM seterusnya menyumbang kembali kepakaran mereka untuk kemajuan negeri yang tercinta," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pra-Pelancaran bagi Pusat Sains Tawau dan Sandakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, di sini, hari ini

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata, Pusat Sains Tawau dan Sandakan yang masing-masing mempunyai keluasan 2,980 dan 3,360 kaki persegi bakal memberi pengalaman baharu kepada pengunjungnya melalui pendekatan hands-on dan pembelajaran tidak formal.

"Sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negeri Sabah, Pertronas berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini melalui tajaan pendidikan, latihan teknikal, penyediaan akses pendidikan serta latihan demi memperkasakan bakat-bakat muda Sabah.

"Petronas sentiasa menyokong penuh visi dan misi kerajaan Sabah terhadap kepentingan pembangunan pendidikan berkualiti khususnya dalam pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:14 PM