PESERTA AAY 2019 dari Johor khusyuk mendengar penerangan mengenai pertadingan.
PESERTA AAY 2019 dari Johor khusyuk mendengar penerangan mengenai pertadingan.
Helmy Abd Rahman


Jerih-perih selama 11 minggu bertungkus-lumus menyiapkan projek sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan ternyata berbaloi apabila sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman dinobatkan sebagai juara pertandingan Sentuhan Harapan - All About Youth (AAY 2019), anjuran Petronas di Melaka, baru-baru ini.

Dalam pertandingan akhir, pelajar sekolah menengah berkenaan mengetepikan cabaran 100 pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat daripada lima sekolah menengah dari Sabah, Sarawak, Terengganu, Johor serta Melaka.

Selepas menarik perhatian juri berpandukan tema pertandingan, ‘Reducing Carbon Emissions for a Better Future’.

Projek sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan itu dinamakan ‘CO2NCER’ dipimpin Nur Farah Ismahani Mohd Faizal serta Muhammad Hilmi Mohd Nazi.

Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Ketua projek, Nur Farah berkata, dia dan ahli kumpulannya berasa teruja dan bersyukur selepas segala penat lelah mereka terbalas dengan kemenangan itu.

“Alhamdulillah, usaha dan kerja keras kami membuahkan hasil. Kami amat berterima kasih kepada rakan ‘buddies’ kami (sukarelawan Petronas) yang memberi bimbingan dan sokongan.

“Usaha kami tidak berakhir di sini dan berharap dapat mempertingkatkan lagi CO2NCER bagi menjuarai Chairman’s Circle pula,” katanya.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, belia masa kini akan berdepan kesan ketara perubahan iklim, namun mendapat manfaat daripada revolusi teknologi selari pembangunan sains dan inovasi.

“Saya kagum melihat peserta AY2019 ini begitu peka betapa seriusnya isu ini. Menerusi kreativiti masing-masing, mereka mengilhamkan penyelesaian berdaya maju untuk menangani isu sebenar bagi manfaat masyarakat.

“Ini akan mendorong mereka untuk terus berusaha menangani perubahan iklim di peringkat tempatan, kebangsaan dan global,” katanya dalam ucapan perasmian pada pusingan akhir pertandingan.

AAY memberi tumpuan kepada usaha memacu inovasi sosial, menyediakan alat dan teknik untuk mencipta penyelesaian yang dapat menambah baik kesejahteraan masyarakat.

Malah, AAY juga menyokong nisbah sasaran pelajar jurusan STEM ke tahap 60:40, sejajar dengan matlamat kerajaan dan aspirasi negara mengurangkan pelepasan karbon.

PELAJAR SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman tidak dapat menahan sebak sebaik sekolah berkenaan diumumkan pemenang.
PELAJAR SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman tidak dapat menahan sebak sebaik sekolah berkenaan diumumkan pemenang.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dari Sabah memenangi tempat kedua dan membawa pulang RM10,000 manakala SMK Tun Habab, Johor memenangi tempat ketiga sekali gus menerima hadiah RM5,000. SMK St Francis (Melaka) dan SMK Asyakirin (Sarawak) pula menerima hadiah sagu hati.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, AAY menawarkan peluang kepada pelajar memperlihatkan bukan hanya satu idea, tetapi pelbagai cara membantu menangani masalah perubahan iklim.

“Menerusi AAY, pelajar menjalankan uji kaji, mereka cipta dan bekerjasama mencari penyelesaian.

“Panel hakim kagum dengan keupayaan pelajar mengguna pakai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk solusi jaminan masa depan yang lebih baik.

“Semua pasukan berjaya menzahirkan idea mereka ke arah penyelesaian praktikal demi kesejahteraan masyarakat.

“Saya berharap mereka akan terus mengasah projek masing-masing supaya boleh dilancarkan ke seluruh negara,” tambahnya.

Selepas pusingan akhir peringkat kebangsaan AAY 2019 ini, lima pasukan daripada 200 sekolah akan dipilih sekali lagi untuk bertanding di peringkat ‘Chairman’s Circle’ Disember ini untuk merebut hadiah berjumlah RM30,000. Pemilihan dibuat berdasarkan projek yang berdaya maju dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:46 AM