NAJIB dan Rosmah ketika hadir pada Majlis Makan Malam APFEC 2016.
NAJIB dan Rosmah ketika hadir pada Majlis Makan Malam APFEC 2016.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Pasifik 2016 (APFEC 2016) kali kedua yang bermula semalam menjadi medan terbaik buat peserta membincangkan kaedah dan polisi terbaik yang perlu diterapkan dalam dasar pendidikan awal kanak-kanak di peringkat negara Asia Pasifik.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau juga percaya forum ilmiah itu akan menjadi platform buat peserta berkongsi kepakaran; pengalaman; inspirasi dan penyelesaian dalam berdepan isu dan cabaran dihadapi sistem pendidikan awal kanak-kanak di negara masing-masing.

Beliau berkata, Malaysia memulakan langkah awal dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak berkualiti menerusi program PERMATA yang diilhamkan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Program PERMATA direka untuk mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak di negara ini sekali gus membantu melahirkan generasi baru yang berketrampilan dan mempunyai daya kepemimpinan tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan forum berkenaan di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dan Chong Sin Woon; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Penolong Ketua Pengarah Pendidikan Pendidikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Qian Tang.

Katanya, usaha dilakukan kerajaan adalah bukti kukuh dan komitmen dalam membangunkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia selaras dengan dasar kerajaan menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak di negara ini.

Mahadzir berkata, bagi memastikan jaminan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan terutama membabitkan penyertaan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 10:09 AM