Ahmad Lotfi  (dua dari kiri) bersama Dr Azhar (kiri), Patricia  dan Pengarah Urusan Talento Academy, Cheah Eng Khoon  menunjukkan risalah selepas sidang media Program Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, semalam.
Ahmad Lotfi (dua dari kiri) bersama Dr Azhar (kiri), Patricia dan Pengarah Urusan Talento Academy, Cheah Eng Khoon menunjukkan risalah selepas sidang media Program Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan kini dalam proses meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah di seluruh negara selaras Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK).

Timbalan Pengarahnya, Ahmad Lotfi Zubir berkata, selain memperluas akses dan meningkatkan enrolmen pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun, pihaknya juga akan memastikan kualiti pendidikan prasekolah mampu melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melancarkan program MyTadika pada Mei depan di mana ia berperanan membimbing dan memantau kualiti pengurusan pendidikan tadika swasta di seluruh negara.

“Seramai 15 pegawai Kementerian Pendidikan dilantik menyertai pasukan petugas khas dibantu 120 pegawai di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

“Pegawai di PPD akan melihat dan mengawal selia tadika prasekolah di kawasan masing-masing terutama dari aspek pengurusan, penyampaian pendidikan dan keselamatan,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Penyelaras Program Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) Dr Azhar Md Adnan dan Pengerusi Penganjur Forum ECCE Patricia Teh.

Katanya, pihaknya berharap pasukan petugas khas itu dapat membimbing tadika di kawasan masing-masing, sekali gus mematuhi sekurang-kurangnya tahap minimun ditetapkan SKPK.

Ahmad Lotfi berkata, selain itu, pihaknya juga mahu pengelola dan pengusaha tadika swasta supaya dapat melakukan proses penilaian kendiri secara dalam talian menerusi www.smpk. moe.gov.my bagi melihat sama ada mereka sudah melepasi tahap minimum ditetapkan SKPK atau tidak.

“Tahun lalu, sebanyak 6,298 tadika prasekolah di seluruh negara mengisi secara dalam talian menerusi laman web itu di mana 87.9 peratus daripadanya melepasi tahap minimum SKPK manakala, 21 peratus lagi gagal mencapai tahap minimum.

“Ini perkara yang perlu diatasi, kami bukan mahu melihat jumlah atau bilangan tadika prasekolah sebaliknya kualiti pendidikan ditawarkan institusi pendidikan swasta itu,” katanya.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan ECCE dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) bagi menganjurkan tiga forum berkaitan pengurusan kualiti pendidikan prasekolah mulai 26 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:12 AM