MOHAMAD Shahid (kanan) bersama penduduk tempatan warga Malaysia.
MOHAMAD Shahid (kanan) bersama penduduk tempatan warga Malaysia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Antara tanggungjawab dan keluarga. Dua imam muda sanggup melupakan kemeriahan dan kerinduan kepada keluarga sejak tiga tahun lalu apabila menyambut lebaran pertama di perantauan demi menggalas tanggungjawab sebagai imam solat Aidilfitri di luar negara.

Imam muda berkenaan, Mohd Aminur Rahman Mohamed Rashid, 25, dan Mohamad Shahid Mohamad, 26, masing-masing dari Bukit Sekilau serta Indera Mahkota, Kuantan, Pahang kini berada jauh ribuan kilometer daripada keluarga bukan kerana kekangan membabitkan masa atau kewangan namun masyarakat Islam di Australia lebih memerlukan mereka dalam memantapkan ilmu agama.

Jauh di sudut hati mereka ingin menyambut hari raya pertama di kampung bersama keluarga. Apabila bergema takbir, pasti linangan air mata mengiringi solat mereka.

Mohd Aminur Rahman yang juga pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Darul Quran menjadi imam untuk solat Tarawih dan Aidilfitri di Dewan Malaysia, New South Wales, Australia, sejak 2014.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, laungan takbir raya antara perkara yang membuatkannya hiba kerana ingatan pasti tertumpu pada ibu dan ayah yang hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sepanjang berada di sana.

“Pada peringkat awal memang sedih dan hiba kerana tidak berkesempatan pulang ke kampung pada awal Aidilfitri kerana saya berseorangan di sini (New South Wales), tiada saudara-mara atau kenalan rapat yang menemani.

“Namun, apabila difikirkan tanggungjawab kepada puluhan ribu masyarakat Islam di kawasan ini, perasaan itu sedikit demi sedikit hilang, malah memberikan kekuatan kepada diri untuk terus menabur bakti kepada mereka,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelajar jurusan Quran dan Sunnah itu berkata, masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warna kulit sentiasa memberikan semangat, malah melayan Mohd Aminur bagaikan keluarga mereka sendiri.

“Saya ditugaskan menjadi iman di Masjid Darul Imaan, Arncliffe Sydney, New South Wales, Australia dan kebanyakan jemaahnya warga asing manakala rakyat Malaysia hanya sebilangan kecil saja.

“Antara perkara yang dibimbangi ketika mula dilantik jadi imam adalah cara mereka bersolat kerana kemungkinan berbeza mengikut mazhab masing-masing dan budaya di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Shahid Mohamad, 26, sanggup mengorbankan ‘raya pertamanya’ sejak tiga tahun lalu untuk menjadi imam solat Tarawih serta Aidilfitri di tiga kawasan berbeza di Australia.

Mohamad Shahid yang kini menjadi imam di Basma Center Organisation, Condell Park, Sydney, Australia, sudah biasa menyambut Aidilfitri berjauhan dengan keluarga kerana tanggungjawab kepada agama.

“Siapa saja inginkan menyambut lebaran pertama bersama keluarga termasuklah saya kerana suasana begitu berbeza dengan di sini (Sydney) dan Malaysia walaupun mempunyai masyarakat Islam ramai.

“Saya ditemani rakan dan masyarakat Islam lain yang mempunyai latar belakang berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri disambut secara sederhana saja,” katanya, ketika dihubungi.

Menurutnya, solat Aidilfitri dihadiri masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang beza kebanyakan dari Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi dan Indonesia.

“Kebanyakan mereka juga berjauhan dengan keluarga masing-masing dan apabila berada di sini (Sydney) kami bagaikan satu keluarga dengan sentiasa melakukan aktiviti bersama.

“Solat Aidilfitri di Sydney tidak banyak bezanya dengan di Malaysia dan kami menjalankannya seperti biasa sebelum menziarahi kenalan,” katanya yang akan pulang ke Malaysia pada Aidilfitri ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 8:18 AM