Mohd Zaki mencipta sejarah apabila diberi penghormatan mengimamkan solat sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah raya dalam Bahasa Inggeris di Sydney, Australia.
Mohd Zaki mencipta sejarah apabila diberi penghormatan mengimamkan solat sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah raya dalam Bahasa Inggeris di Sydney, Australia.
Zatul Iffah Zolkiply

 

[email protected]

 

ANAK Terengganu mencipta sejarah apabila diberi penghormatan mengimamkan solat sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah raya dalam Bahasa Inggeris di Sydney, Australia.

Penolong Pengarah Tajaan dan Transformasi Mahasiswa Yayasan Terengganu Mohd Zaki Mat Yakim, 43, diberi penghormatan berkenaan di hadapan seramai 1,000 masyarakat Islam pelbagai bangsa yang menetap di sekitar New South Wales (NSW).

Menurut Mohd Zaki, dia berada di Sydney sejak 11 Jun lalu bagi mengetuai Solat Tarawih dan Qiyamullail di masjid berkenaan.

Katanya, dia yang berasal dari Air Putih Kemaman menyifatkan ia sejarah dalam hidupnya apabila berpeluang berhari raya di negara asing dan diberi penghormatan menjadi imam dan membaca khutbah raya Aidilfitri.

"Saya tidak pernah terfikir akan diberi penghormatan seumpama itu dan ia satu penghargaan bermakna buat saya.

"Sebagai anak Terengganu, saya bangga apabila Terengganu dekat di hati masyarakat Islam di sini kerana bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad merintis jalan untuk membina kelas pengajian agama di Sydney dan menubuhkan Masjid Darul Imaan.

"Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk menabur bakti di Sydney," katanya

Menurutnya, dia turut berharap lebih ramai imam dari Terengganu diberi peluang untuk bertugas dan berdakwah.

Katanya, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah menguasai Bahasa Inggeris dan Arab kerana setiap hari, masyarakat Islam di sini akan bertanya pelbagai soalan dan hukum," katanya.

Solat sunat Aidilfitri dimulakan jam 8.30 pagi diRobyn Webster Sport Club, Tempe NSW yang mana ia adalah tahun akhir solat sunat diadakan di lokasi itu kerana pihak berkuasa tempatan tidak

membenarkan lokasi itu di jadikan tempat solat hari raya.

Sebelum ini, lokasi itu dipilih setiap tahun memandangkan Masjid Darul Imaan, Wolli Creek tidak dapat menampung keperluan masyarakat Islam di kawasan berkenaan dan ia dikendalikan Persatuan Melayu Islam Australia NSW (IMAAN)

Program penghantaran imam tarawih dimulakan kerajaan negeri sejak 2015 atas permintaan pengurusan Masjid Darul Imaan NSW.

Setiap tahun, Terengganu menghantar dua imam untuk bertugas sepanjang Ramadan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 1:24 PM