Mohd Azhar hadir di Mahkamah Sesyen, semalam.
Mohd Azhar hadir di Mahkamah Sesyen, semalam.
myMetro

Seremban: Seorang pegawai penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan menawarkan suapan RM60,000 kepada penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azhar Mohd Arif, 50, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan suapan iaitu wang tunai RM10,000 dan RM50,000 secara berasingan kepada Mohd Haziman Mahmood yang juga penguasa SPRM.

Tawaran itu sebagai dorongan menutup dan menyelesaikan siasatan SPRM dilakukan terhadap dirinya iaitu berkaitan pengesahan palsu Borang Pemeriksaan Kebun MPOB dan penyelewengan Skim Tanaman Semula Sawit di FELDA Raja Alias, Jempol, dekat sini.

Perbuatan itu dilakukan di hotel pada 29 Mei dan 19 Jun 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diwakili Eddin Syazlee Shith dilepaskan dengan jaminan RM8,000 sementara menunggu perbicaraan kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 22 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:31 AM