Raja Noraina Raja Rahim dan Kamariah Samir


Seremban: Dua bekas pemain bola sepak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menawarkan suapan kepada pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Tertuduh, Khairul Anuar Baharum, 43, atau lebih dikenali Ah Chong dan G Prem Kumar, 49, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menawarkan suapan masing-masing RM10,000 kepada Mohd Khairul Izzuwan Shaari dan S Harivarman iaitu penjaga gawang dan pemain MISC-MIFA, di Kawasan Industri Ringan Senawang, antara jam 9 hingga 10 malam, pada 27 Mac lalu.

Ia bertujuan mengatur perlawanan antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak supaya tewas 2-0 pada perlawanan yang berlangsung 7 April.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala Ah Chong diwakili Ridha Abdah Subri dan Prem Kumar (Datuk Geethan Ram Vincent).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 31 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:29 AM
KHAIRUL Anuar diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KHAIRUL Anuar diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman