AHMAD Zahid (lima dari kiri) melakukan gimik pelancaran logo Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam.
AHMAD Zahid (lima dari kiri) melakukan gimik pelancaran logo Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam.
Ahmad Saufi Mansor dan Aizat Sharif


Bukit Kayu Hitam: Undang-undang khusus berkaitan kawalan sempadan negara perlu diwujudkan bersesuaian dengan keadaan semasa bagi memastikan peranan dan tanggungjawab Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), dalam menangani isu penyeludupan termasuk ancaman keselamatan terhadap negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa serius untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kawalan di sempadan negara dengan memberi tumpuan bagi menangani ancaman keselamatan seperti pembolosan, pemerdagangan manusia serta penyeludupan barang-barang terlarang.

Katanya, berikutan itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil pendekatan kaedah dan amalan perundangan negara lain seperti Akta Penguatkuasaan Sempadan Australia 2015 serta Akta Sempadan UK 2007, untuk mewujudkan undang-undang khusus berhubung kawalan sempadan di negara ini.

“Pertukaran nama Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) salah satu usaha untuk jangka panjang bagi mengukuhkan agensi berkenaan, sekali gus mempunyai undang-undang sendiri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai agensi penguat kuasa di sempadan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:25 AM