Hamzah ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 yang bertujuan membubarkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu juga dibentang bagi memansuhkan Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

Pada 29 Disember 2017, Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 dikuatkuasakan untuk memperkemas tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Penggubalan akta tersebut memberi punca kuasa bagi penubuhan sebuah agensi khusus dikenali sebagai Aksem yang bertanggungjawab untuk mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membentangkan rang undang-undang tersebut berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:37 PM