CALON BN, Dr Annuar Rapaee (tengah) merai kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bersama penyokongnya.
CALON BN, Dr Annuar Rapaee (tengah) merai kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bersama penyokongnya.
Mohd Nasif Badruddin dan Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) termasuk merampas lima kerusi DAP membuktikan keputusan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berjaya menambat hati pengundi khususnya kaum Cina,” kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Ahi Sarok.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, faktor yang menjadi kekusutan BN sebelum ini iaitu menarik kembali pengundi dalam kalangan kaum Cina berjaya diselesaikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, faktor mahukan lebih kuasa autonomi juga membantu meningkatkan sokongan rakyat kembali kepada BN.

Beliau berkata, kini tiba masanya BN menunaikan segala janji sepanjang kempen lalu.

“Rakyat Sarawak berharap dengan kejayaan besar ini, segala yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika kempen dapat ditunaikan,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, keputusan PRN ke-11 bukan sahaja membuktikan kepemimpinan Adenan diterima ramai malah menyukarkan pembangkang untuk bersaing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, keputusan PRN akan menjadi panduan kepada PRU ke-14 nanti dan kegagalan pembangkang menambah kerusi baharu menunjukkan slogan ‘Sarawak for Sarawakian’ yang menjadi modal mereka menjadi ‘senjata makan tuan’ kerana Kerajaan Persekutuan sendiri sudah mula menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, pembangkang ternyata gagal meraih mandat rakyat apabila impian PAS dan serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) melahirkan kerusi sulung di negeri itu bukan sahaja berkecai, malah DAP turut kalah di semua kawasan Bumiputera dan PKR gagal menambah kerusi baharu selain semua enam kerusi bertindih DAP dan PKR dimenangi BN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:31 AM