PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengangkat kotak barang keperluan untuk dihantar ke kawasan sekitar Kuching yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei ini. FOTO Khairull Azry Bidin
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengangkat kotak barang keperluan untuk dihantar ke kawasan sekitar Kuching yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei ini. FOTO Khairull Azry Bidin
BERNAMA

Kanowit: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah adalah satu daripada 12 kerusi yang menyaksikan pertandingan empat penjuru pada pilihan raya negeri Sarawak, 7 Mei.

Kawasan itu juga antara kerusi di mana rundingan antara DAP dan PKR gagal berhubung agihan kerusi menyebabkan kedua-dua parti pembangkang itu menurunkan calon masing-masing.

Penyandang kerusi berkenaan adalah calon Barisan Nasional (BN) Alexander Vincent daripada Parti Rakyat Sarawak.

Namun, wakil rakyat BN itu sudah biasa berhadapan dengan pertandingan membabitkan ramai calon di mana pada pilihan raya negeri 2011, beliau terpaksa bertembung dengan empat pencabar lain.

Ketua rumah panjang, Mathew Chuat, 62, daripada Skim Penempatan Semula Nanga Tada, optimis Alexander sekali lagi akan dapat mempertahankan kerusi berkenaan.

"Beliau sudah membuktikan dan berjaya melakukannya. Beliau juga sering turun padang berkhidmat kepada rakyat sebaik memenangi kawasan tersebut.

"Penduduk luar bandar juga sudah tahu Alexander adalah antara anggota Pasukan Adenan. Penerimaan rakyat juga adalah baik sepertimana diharapkan ketua menteri dan Barisan Nasional," kata Chuat, pesara kerajaan, di sini.

Nanga Tada, yang mempunyai 330 keluarga daripada 18 rumah panjang, adalah satu daripada penempatan utama di kawasan majoriti masyarakat Iban.

Mathew berkata, 80 peratus daripada mereka adalah penyokong setia BN.

"Kami semestinya berpuas hati dengan pencapaian beliau. Misalnya pada 2013, kerajaan memberi kami RM3.7 juta untuk melakukan kerja-kerja memasang semula bumbung kesemua rumah panjang. Pada 2014, kami diberi peruntukan RM6.5 juta untuk pembinaan klinik kesihatan," katanya.

Sementara itu, Penghulu Johnny Masam, 59, dari Skim Penempatan Semula Nanga Jagau di Ngemah, sebuah lagi kawasan penempatan utama, kira-kira satu hari perjalanan dengan bot panjang dari bandar Kanowit, berkongsi keyakinan Mathew itu.

Beliau berkata, pencapaian Alexander baru-baru ini, adalah dengan kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan jalan sejauh 20 kilometer untuk menghubungkan Nanga Jagau dengan Nanga Ngungun, sebuah lagi kawasan penempatan utama.

Nanga Jagau juga pada 2013, menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM4.9 juta bagi melakukan kerja-kerja menggantikan bumbung bagi 23 rumah panjang.

"Pada 2011, beliau memainkan peranan penting dalam mendapatkan dana RM33 juta bagi membina SMK Nanga Dap di Nanga Dap, dan RM77.7 juta untuk sekolah baru SMK Sedaya pada 2012," katanya.

Sementara itu, Alexander yang menang dengan majoriti 995 undi pada 2011, mempunyai banyak perancangan perlu dilakukan untuk kawasannya yang mempunyai 8,931 pengundi berdaftar majoritinya masyarakat Iban.

Perkara yang menjadi keutamaan beliau jika menang pada PRN kali ini adalah agar menara telekomunikasi dibina di Nanga Jagau, Mapai dan Nanga Dap, selain meminta kerajaan menjalankan kajian perimeter terhadap lebih banyak lagi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), di samping melaksanakan pelbagai projek.

Ketika Alexander sudah melakukan kerja-kerja dengan gigih sejak lima tahun lalu, calon daripada PKR, DAP dan Bebas baru sahaja melaksanakan tugas mereka mendekati pengundi-pengundi di lebih 200 rumah panjang dan pusat penempatan di kawasan berkenaan bagi meraih undi mereka. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:46 AM