myMetro

Miri : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin bukan saja berjaya mengekalkan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, semalam, malah memperoleh majoriti lebih besar 3,538 undi berbanding hanya 58 undi pada PRN ke-10 yang lalu.

Beliau berjaya menewaskan dua calon lain dari DAP dan Parti Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Sebelum ini, DUN Senadin dianggap kawasan kelabu apabila Lee hanya menang dengan 58 undi, jumlah majoriti paling kecil daripada 71 kerusi keseluruhan pada PRN ke-10 lalu ketika menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Teo Yu Keng ketika itu.

DAP diwakili Dr Bob Baru Langup hanya memperoleh 7,145 manakala PBDSB diwakili Philemon John Edan mendapat 329 undi.

Lee ketika ditemui berkata, kemenangan itu hasil kerja keras jentera parti selain kepercayaan rakyat kepada BN.

Menurutnya, dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berjaya membuka mata rakyat mengenai komitmen kerajaan terhadap negeri ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada pengundi, esok (hari ini) saya akan turun padang untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat di DUN ini.

“Tanggungjawab saya kepada rakyat bermula hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Dewan Suarah Miri, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:28 AM