Oleh Alias Abd Rani

Kuching: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul penambahan kerusi DUN daripada 71 kepada 82 keseluruhan, hari ini.

Usul diluluskan majoriti ahli dewan selepas sesi perbahasan membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan tujuh pembangkang.

Terdahulu usul itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Openg merangkap Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak pada hari kedua persidangan DUN di Bangunan DUN baru, di sini.

DUN Sarawak mempunyai 71 kerusi dengan 55 daripadanya dimenangi BN manakala DAP dan PKR masing-masing 12 dan tiga kerusi manakala ADUN Pelagus adalah wakil tunggal Bebas sebelum menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Bagaimanapun, senario ini berubah apabila dua komponen BN iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak berpecah dua yang menyaksikan enam wakil rakyatnya keluar menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Begitu juga Parti Rakyat bersatu Sarawak (SUPP) apabila empat daripada enam ADUN mengambil tindakan sama dan menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Kedua-dua parti baru ini memilih pendekatan mesra BN.

Sementara itu DAP turut kehilangan seorang wakil rakyat apabila ADUN Pujut Andy Chia dipecat parti dan menjadi wakil Bebas.

Komposisi kerusi DUN Sarawak terkini

BN

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB): 35

SUPP : 2

Parti Rakyat Sarawak (PRS): 8

UPP: 4

SPDP: 6

Pembangkang

DAP: 11

PKR: 3

SWP: 1

Bebas: 1

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 3:35 PM