Bintulu: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya lebih agresif membuat pendaftaran pengundi baru sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Muhyiddin berkata, saranan itu memandangkan proses pendaftaran pengundi baru membabitkan parti komponen BN masih belum memuaskan.

“Kita perlu agresif selain meletak sasaran mendaftar pengundi baru bagi setiap kawasan pilihan raya. Ia bertujuan memastikan BN dapat menumpukan keperluan komuniti kawasan terbabit selaras dengan peringkat umur.

“Kita (BN) akan memantau keadaan ini sepanjang masa dengan laporan berkala daripada parti komponen BN,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tri-tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing.

Muhyiddin berkata, analisis data pendaftaran pengundi baru diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pembangkang lebih agresif berbanding parti komponen BN.

“Ini tidak bermakna kita tidak turun padang kerana parti komponen BN sudah lama berbuat demikian berbanding pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta proses pemulihan SPDP disegerakan bagi menghadapi PRN Sarawak tidak lama lagi.

“Tempoh DUN Sarawak berakhir Jun 2016, kita tidak ada masa lama lagi. Kepimpinan baru SPDP patut menumpukan usaha memperkuatkan parti daripada meneruskan sengketa dengan bekas anggota parti itu.

“SPDP patut fikirkan cara membantu rakyat, antaranya langkah menangani kenaikan kos kehidupan dan bantuan pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:04 AM