PENGAWAL keselamatan menunjukkan tempat kejadian.
PENGAWAL keselamatan menunjukkan tempat kejadian.
Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh: Mendiang S Selvarajoo, 49, baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran anak lelakinya yang berusia 16 tahun, Sabtu lalu.

Sambutan hari lahir Shairvin yang juga anak kedua daripada dua beradik diraikan dalam suasana sederhana di sebuah kedai makan di tengah bandar raya ini, kelmarin, kira-kira tiga jam sebelum mangsa ditemui mati disyaki dibunuh.

Mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans dan broker hartanah ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan luka dan lebam di beberapa anggota badan berhampiran kawasan luar pagar Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Tambun, dekat sini, pada jam 12 tengah malam kelmarin.

Adik saudara mendiang, Raj Kasevan, 30, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam, berkata, dia tidak pernah mensyaki sesuatu yang pelik berlaku kepada mendiang selepas kali terakhir bertemu dengannya, Sabtu lalu.

Menurutnya, Selvarajoo seorang yang suka membantu orang lain dan sering bersikap rendah diri.

“Saya mendapat tahu daripada isteri mangsa bahawa dia keluar dari rumah untuk urusan pertukaran nama kenderaan dengan memandu kereta seorang diri selepas menghantar keluarganya pulang sebaik selesai makan malam.

“Isteri mangsa bimbang apabila mendapati dia tidak pulang selepas jam 12 tengah malam dan menghubungi saya dan meminta bantuan untuk mengesan mangsa, namun saya gagal mengesannya sehingga membuatkan saya mengambil tindakan membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendapat tahu mangsa meninggal dunia dalam kejadian itu.

Sumber berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk kesan tetakan objek tajam di leher.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 6:37 AM