KEADAAN van yang dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan.
KEADAAN van yang dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan.
Nor Azizah Mokhtar dan Hasbi Sidek

Kajang: Seorang pemandu van pekerja maut dalam keadaan tragik apabila kaki kirinya putus akibat terkena besi penghadang lebuh raya sejurus tercampak keluar dari kenderaan dipandunya.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi semalam, mangsa, N Selvarajoo, 68, sedang memandu van model Nissan berseorangan melalui Kilometer 293, Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban berhampiran susur Bangi, di sini.

Mangsa yang memandu di lorong paling kiri lebuh raya, bagaimanapun dirempuh sebuah kereta Mercedes Benz dipandu seorang pemuda berusia 20 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kereta Mercedes Benz itu pada mulanya dikatakan cuba mengelak kenderaan mangsa namun gagal sebelum merempuhnya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak keluar dari dalam kenderaan ke dalam longkang. Kaki kiri mangsa putus selepas terkena besi penghadang jalan.

“Mangsa yang turut mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Azman, pemandu kereta Mercedes Benz itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:30 AM