RAKAN sekerja mendiang turut memberi penghormatan.
RAKAN sekerja mendiang turut memberi penghormatan.
ADIK mendiang, David Ramesh Morais (kanan)  tidak dapat menahan sebak berpelukan bersama tetamu.
ADIK mendiang, David Ramesh Morais (kanan) tidak dapat menahan sebak berpelukan bersama tetamu.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Ratusan rakan serta ahli keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais berkumpul di Gereja Divine Mercy di sini, semalam, bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Mangsa sebelum ini diculik sebelum dibunuh sekumpulan penjenayah pada 4 September lalu, sebelum mayatnya ditemui disumbat di dalam tong dram berisi simen di Subang Jaya pada 16 September.

Majlis penghormatan terakhir itu diketuai paderi Simon Labrooy bermula jam 11 pagi dan tamat sejam kemudian.

Suasana suram dirasai ketika rakan mendiang menzahirkan memori semasa hayat Kevin melalui ucapan khas diberikan.

Rakan mendiang, Manoj Kurup jelas tidak dapat menahan air mata ketika menceritakan keakrabannya bersama Kevin sejak 20 tahun lalu iaitu ketika mendiang mula berkecimpung sebagai peguam.

“Saya sentiasa memikirkan tentang Kevin dan bagaimana tragedi pembunuhan kejam itu boleh berlaku terhadapnya.

“Mendiang juga seorang pegawai yang sangat mengambil berat terhadap kakitangannya. Jika ada dalam kalangan kakitangannya yang menghadapi masalah, mendiang seolah-olah merasai masalah itu,” katanya.

Selain itu, sepupu Kevin, Desmond Louis turut meluahkan rasa kehilangan mendiang menerusi sajak pujian dan menyifatkan Kevin sebagai individu yang sederhana dan periang.

“Dia pandai, rajin, berkemahiran, beretika, khusus untuk kerjanya sebagai Timbalan Pendakwa Raya selain gemar membantu rakan-rakannya.

“Rakannya pernah menggambarkan mendiang sebagai seorang kakitangan kerajaan yang berani,” katanya.

Difahamkan, ahli keluarga mendiang masih enggan menuntut mayat Kevin Morais yang kini masih disimpan di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:15 AM