Anis Diana bersama sijil dan penghargaan anugerah tokoh Danajamin100.
Anis Diana bersama sijil dan penghargaan anugerah tokoh Danajamin100.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sebelum ini saya sangat pemalu apatah lagi ingin bercakap di khalayak ramai, namun selepas menyertai Program Kepemimpinan Danajamin100 saya lebih yakin dan berani bersosial dengan orang lain, malah lebih manis dipilih menerima anugerah khas ini,” kata Anis Diana Anuar, 18, penerima Anugerah Tokoh Danajamin100 dalam Majlis Graduasi Program Kepemimpinan Danajamin100 Kumpulan Pertama di sini, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Pulau Indah, Klang yang bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris dipilih menerima pengiktirafan kerana pembabitannya yang cemerlang sepanjang program dan nilai positif disebar dalam kalangan rakan.

Menurutnya, dia bangga terpilih menjadi peserta perintis terdiri daripada 30 pelajar tingkatan empat dari sekolah PINTAR membabitkan pelajar dari tiga sekolah di Selangor dan dua sekolah di Negeri Sembilan.

“Program ini memberi saya pendedahan mengenai ilmu kepemimpinan sehingga menjadikan saya berani bergaul terutama rakan dari sekolah lain dan berucap di khalayak ramai.

“Saya juga boleh berkongsi masalah atau bertukar idea dengan mentor yang bersedia membantu dari segi bimbingan dan nasihat, selain rakan peserta lain yang dianggap seperti adik-beradik,” katanya yang memperoleh 5A dan 4B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Program Kepimpinan Danajamin100 adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat Danajamin Nasional Berhad dengan kerjasama Yayasan Pintar untuk memperkasakan nilai kepimpinan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Mohammed Hussien, program yang dilancarkan pada tahun 2014 itu akan memilih pelajar berdasarkan pencapaian akademik, kokurikulum dan potensi kepemimpinan.

“Sepanjang tempoh tiga tahun ini, kumpulan pelajar terbabit akan menjalani pelbagai aktiviti dan kem motivasi yang memberi fokus kepada personaliti, nilai kepimpinan, komunikasi dan kemahiran profesional.

“Kumpulan kedua Danajamin100 terdiri daripada 30 pelajar terpilih dari sekolah di Perak, Pulau Pinang dan Kedah sudah memulakan program mereka pada September tahun lalu dan dijangka menjalani kem kedua pada Mei ini,” katanya.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 10:04 AM