ANTARA graduan yang turut diraikan dalam majlis graduasi secara dalam talian.
ANTARA graduan yang turut diraikan dalam majlis graduasi secara dalam talian.
Suliati Asri


SERAMAI 42 pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara (KGPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah GENIUS@Pintar High School Diploma selepas berjaya menamatkan pengajian merangkumi dua program pendidikan yang berjalan serentak iaitu silibus High School Diploma (HSD) dan silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis Graduasi KGPN UKM Ke-9 yang julung kalinya dilaksanakan secara maya itu bagi mengiktiraf kejayaan pelajar ambilan tahun 2016 yang turut dikenali sebagai batch Luminescence. Sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan alumni KGPN UKM dari 2011 hingga 2021 ialah seramai 752.

Pada Majlis Graduasi ke-9 itu juga seramai 14 pelajar tersenarai sebagai penerima Anugerah Pengarah yang diberikan kepada pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67 dan ke atas.

Anugerah Khas pula diberikan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dengan memperlihatkan ketinggian sahsiah terpuji, mempunyai semangat kepemimpinan tinggi, mendapat keputusan cemerlang dalam akademik sepanjang pengajian di kolej. Selain mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik keseluruhan sepanjang mengikuti pengajian daripada Asas 1 hingga ke Tahap 2.

Senarai Anugerah Khas yang diberikan adalah Anugerah Sahsiah Terpuji, Anugerah Kokurikulum, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Akademik dan Anugerah Tertinggi bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang-bidang berkenaan.

Graduan, Harun Azhar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tertinggi sekali gus terpilih mewakili pelajar Luminescence menyampaikan ucapan pada majlis graduasi itu.

Sebagai penerima Anugerah Tertinggi, Harun turut menerima wang tunai berjumlah RM300 dan sijil penghargaan.

Bukan itu saja, batch Luminescence ini juga mengharumkan nama KGPN, UKM dengan meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Ekoran daripada kejayaan itu juga, pihak kolej menerima lapan anugerah dan sijil penghargaan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat atas kejayaan cemerlang yang dikecapi.

Lapan anugerah itu merangkumi Sijil Penghargaan Lonjakan Dan Mencapai Sasaran KPI Tahun 2020; Sijil Penghargaan Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Matematik; Sijil Penghargaan Atas Kelulusan 100 peratus Dalam SPM Tahun 2020; Anugerah Pencapaian Terbaik Mata Pelajaran Bahasa Inggeris (GPMP 0.53) SPM Kategori Sekolah Jenis Khas; Anugerah Pencapaian Terbaik Mata Pelajaran Sejarah (GPMP 0.57) SPM 2020 Kategori Sekolah Jenis Khas; Sijil Penghargaan Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Sejarah SPM Tahun 2020; Sijil Penghargaan Peningkatan Bilangan Calon Layak Menerima Sijil (LMS) SPM dan Sijil Penghargaan Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Bahasa Inggeris SPM Tahun 2020.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Dr Mohammad Kassim dalam ucapannya berharap setiap pelajar sentiasa memperkasa kepintaran yang dianugerahkan Ilahi dan menghargai segala usaha, tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan untuk mencari anak-anak pintar dan berbakat ini di seluruh negara.

Beliau juga turut menasihatkan pelajar yang ingin menyambung pengajian di luar negara supaya sentiasa menggali ilmu dan kemahiran dengan baik di samping menjaga maruah serta nama baik diri, keluarga dan negara.

"Saya berharap pelajar membina jati diri bangsa Malaysia yang kental dengan nilai-nilai kemanusiaan selaras dengan usaha memperkasakan UKM berdasarkan kerangka T E R A S yang menjadi lembayung universiti yang terdiri daripada lima nilai utama iaitu Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasa (Revitalise), Tangkas (Agile) dan Jiwa (Soul) untuk terus cemerlang di persada dunia," katanya.

"Pelajar juga seharusnya kembali menabur bakti selepas tamat pengajian kepada masyarakat dan negara di samping membina kekuatan jiwa supaya dapat menghadapi cabaran dalam membangunkan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara Profesor Madya Dr Rorlinda Yusof dalam ucapannya berkata, anak-anak GENIUS@Pintar adalah aset negara yang bakal cemerlang di mana juga mereka berada.

Menurutnya, ia sejajar dengan visi program pendidikan pintar berbakat (PB) untuk memupuk individu pintar dan berbakat secara seimbang dengan minda ingin tahu yang menyumbang sebagai pemimpin dunia, pemikir, inovator serta menghayati nilai kemanusiaan yang tinggi.

"Kalian adalah kebanggaan kami, warga pusat dan negara kerana kalian akan meletakkan nama Malaysia di dalam peta dunia, seperti mana rakan-rakan alumni yang sudah berjaya menamatkan pengajian di serata dunia antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Australia, New Zealand, Jepun serta Korea yang kini sudah berkhidmat di pelbagai agensi.

"Justeru, berbekalkan sijil HSD yang diterima, iringan doa dan harapan daripada ibu bapa, guru-guru serta rakan, saya yakin pelajar akan menjadi insan cemerlang yang beradab cermat, pemikir kreatif yang inovatif, pengamal nilai yang beretika, mantap jiwa dan teguh berjati diri," katanya.

"Moga sentiasa diingat Tujuh Tunggak jati diri yang sudah diserapkan sepanjang menuntut ilmu di kolej ini, (IQ, ES, PQ, SQ, LQ, CQ, AQ) dalam membentuk kemenjadian pelajar sebagai insan seimbang yang cemerlang di mana juga kalian berada.

"Bina diri dan sumbangkan bakti untuk kemaslahatan ummah sejagat demi kejayaan di dunia hingga ke akhirat," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:30 AM