ROSMAH  menerima Anugerah Tokoh Inovasi Pembangunan Kanak-Kanak  yang disampaikan Syed Ali (kiri) pada majlis Anugerah Guru Bestari Yayasan Pendidikan Cheras 2017 di Hotel Berjaya Times Square.
ROSMAH menerima Anugerah Tokoh Inovasi Pembangunan Kanak-Kanak yang disampaikan Syed Ali (kiri) pada majlis Anugerah Guru Bestari Yayasan Pendidikan Cheras 2017 di Hotel Berjaya Times Square.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: “Anugerah ini menjadi pendorong dan motivasi saya terus menabur bakti kepada anak bangsa,” kata Mohd Hafiz Ahmad Tamizi, 34, yang menerima Anugerah Guru Bestari Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) 2017 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Beliau yang juga Guru Penyelaras Teknologi Maklumat Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Taman Shamelin Perkasa, di sini, antara 37 penerima anugerah terbabit selain 10 penerima Anugerah Khas bagi kategori Pembangunan Pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Kepimpinan Khas Guru Besar, Kepimpinan Khas Pengetua dan Pengerusi YPC.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Guru Besar Che Norizam Abdullah dan rakan guru di sekolah yang berkongsi pengalaman serta tunjuk ajar.

“Memasuki tahun kesembilan mengajar di sekolah ini, saya berbangga dan bersyukur kerana dipilih menjadi seorang daripada penerima anugerah itu.

“Memang tidak sangka segala penat lelah dan usaha selama ini berbaloi sehingga diiktiraf sebagai guru bestari. Alhamdulillah, ini kejayaan tertinggi saya selepas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2014,” katanya.

Di majlis sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menerima Anugerah Tokoh Inovasi Pembangunan Kanak-Kanak yang diberikan atas kecemerlangan idea dan keunggulan daya kepemimpinan beliau selaku Pengasas dan Penaung Program PERMATA Negara.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi YPC Datuk Seri Syed Ali Al Habshee yang turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada PERMATA Negara.

Rosmah dalam ucapannya berkata, antara cabaran pendidikan abad ke-21 adalah menyediakan pembelajaran yang menjurus kemahiran berfikir aras tinggi dan pengurusan ruang pembelajaran lebih dinamik.

“Untuk berdepan cabaran ini, saya yakin warga pendidik sudah siap siaga menghadapi dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri ‘21st century teacher’.

“Pendidik perlu sentiasa kreatif dan inovasi serta meneroka pendekatan pengajaran berkesan bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 6:06 AM