Mohamed Ghazali    (tengah) beramah mesra bersama murid yang  menerima  sumbangan pada majlis penyampaian bantuan Program Amal B40 Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di UTM Kampus Kuala Lumpur.
Mohamed Ghazali (tengah) beramah mesra bersama murid yang menerima sumbangan pada majlis penyampaian bantuan Program Amal B40 Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di UTM Kampus Kuala Lumpur.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: “Saya tiada pakaian, beg dan kasut sekolah baru setiap kali memulakan sesi persekolahan kerana biasanya saya akan pakai baju dan beg milik kakak, manakala kasut pula akan diganti apabila rosak,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda, Ampang, Nurul Intan Atiqah Zulaznan, 10.

Nurul Intan Atiqah seorang daripada 20 pelajar terpilih sekitar Lembah Klang yang menerima bantuan pendidikan menerusi Program Bantuan Pendidikan B40 di bawah inisiatif Bantuan Inisiatif Dana Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA).

Anak ketiga kepada pasangan orang kurang upaya (OKU), Zulaznan Abdul Hamid, 42 dan Azlinda Muhayadin, 32, gembira kerana boleh membeli pakaian sekolah baru tahun depan.

“Ibu saya suri rumah manakala ayah pula bekerja sebagai pekerja restoran makanan segera dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Oleh itu, setiap kali permulaan persekolahan ayah dan ibu hanya memilih untuk menukar kelengkapan sekolah yang sudah rosak atau perlu saja,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan berkenaan, Nur Hazlinda Asrapi, 16, berkata, dia bersyukur terpilih menerima bantuan itu sekali gus dapat meringankan beban ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh binaan dan tukang cuci.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Zarith Sofia Negeri Johor Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff berkata, selain golongan berpendapatan rendah, program itu juga menyasarkan individu hilang upaya atau hidup dengan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai sakit kronik, uzur dan miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:32 AM