PARAS air di hulu Sungai Tembeling berdekatan Kampung Mat Daling terlalu cetek hingga menampakkan dasarnya.
PARAS air di hulu Sungai Tembeling berdekatan Kampung Mat Daling terlalu cetek hingga menampakkan dasarnya.
Nazirul Roselan


Jerantut: Cuaca panas berpanjangan sejak sebulan lalu menyebabkan air beberapa sungai utama di Ulu Tembeling, di sini, semakin berkurangan sekali gus memberi kesan kepada penduduk yang masih menggunakan bot sebagai pengangkutan utama.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati Sungai Tembeling yang terletak berdekatan Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi semakin kering dan menampakkan dasar hingga menyekat aliran air.

Fenomena itu menyebabkan bot penambang terkandas seterusnya menyukarkan penduduk di Ulu Tembeling untuk berhubung kerana jalan sungai adalah laluan utama penduduk di kawasan berkenaan.

Pemandu bot penambang dari Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 52, berkata, jika cuaca panas berterusan hingga tiga bulan lagi, kemungkinan air sungai kering dan pengangkutan air akan lumpuh.

“Ini akan menyukarkan penduduk di sini berhubung dengan dunia luar atau ke bandar Jerantut untuk membeli barangan keperluan kerana tidak semua penduduk memiliki pacuan empat roda untuk keluar melalui jalan balak.

“Penduduk yang bekerja sebagai nelayan dan bergantung hidup pada hasil sungai akan terjejas sumber pendapatan kerana air terlalu surut menyebabkan ikan semakin berkurangan, ” katanya.

Seorang guru Hakimi Hamdan, 28, berkata, sebelum ini jarak perjalanan dari Kuala Tahan ke Kampung Bukit Mat Daling memakan masa empat jam menaiki bot, namun kini masa perjalanan semakin panjang akibat bot sering tersangkut di dasar pasir.

“Kami terpaksa mengharungi perjalanan selama lima hingga enam jam untuk sampai ke Kampung Bukit Mat Daling kerana bot tidak boleh bergerak laju dan sering tersangkut di atas pasir.

“Adakalanya kami sampai lewat malam kerana kipas bot rosak berikutan sering terlanggar batu yang ada di dasar sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 8:49 AM