KEMARAU menyebabkan air berkurangan di Stesen Pam Kemubu, Kota Bharu.
KEMARAU menyebabkan air berkurangan di Stesen Pam Kemubu, Kota Bharu.
Oleh Garret Dawum


Kuala Lumpur: Tiga kawasan di Semenanjung mencatatkan suhu tertinggi berikutan cuaca panas melanda negara pada masa ini.

Kawasan itu ialah Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis yang mencatatkan 37.5 darjah Celsius, manakala Lubok Merbau, Perak dengan bacaan 36.5 darjah Celsius.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Alui Bahari berkata, suhu itu masih tidak dapat mengatasi suhu tertinggi dicatatkan di Chuping iaitu 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998.

“Ketika ini, negara berada di penghujung musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada penghujung Mac atau awal April. Dalam tempoh ini, beberapa tempat di Semenanjung mengalami cuaca kering dan kurang hujan.

“Kehadiran fenomena El Nino kuat bermula sejak Oktober lalu memburukkan lagi keadaan cuaca,” katanya.

Kata Alui, kesan daripada El Nino kuat itu menyebabkan suhu dijangka lebih tinggi antara 0.5 darjah Celsius hingga dua darjah Celsius berbanding keadaan biasa.

“Pemerhatian semasa mendapati kekuatan fenomena El Nino menurun dan dijangka berakhir pertengahan tahun ini.

“Semasa cuaca panas orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar apabila panas terik, minum banyak air dan elakkan dari melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 8:13 AM