HARON bersama isterinya, Che Haton Hashim di hadapan rumah pusaka mereka.
HARON bersama isterinya, Che Haton Hashim di hadapan rumah pusaka mereka.
PENDUDUK mengangkat rumah pusaka milik Haron di Kampung Titi Serong, Jalan Dulang.
PENDUDUK mengangkat rumah pusaka milik Haron di Kampung Titi Serong, Jalan Dulang.
Nur Syazwana Mansor


Yan: Seramai 250 penduduk Kampung Titi Serong, Jalan Dulang, di sini, sepakat mengangkat rumah papan seberat 10 tan beramai-ramai sebelum diusung 100 meter ke tapak baru.

Malah, idea itu hasil cetusan pemilik rumah itu sendiri yang juga Ketua Unit Sungai Yan, Haron Ibrahim, 62, yang tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan kerana amalan itu sudah lama ditinggalkan generasi hari ini.

Haron berkata, idea itu muncul seminggu lalu ketika dia ingin mengubah kedudukan asal rumah pusaka ibu bapanya sejak lima tahun lalu ke tapak baharu.

Menurutnya, dia menyampaikan hasrat kepada pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Jerai G IV, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Guar Chempedak yang kemudian menghebahkannya.

“Saya tidak menyangka sambutan diterima menggalakkan, malah bilangan penduduk kampung hadir membantu juga di luar jangkaan, sekali gus menjadikan usaha saya mewujudkan kembali kemeriahan majlis ini berhasil.

“Tradisi mengusung rumah ke tapak baru sememangnya popular pada suatu masa dulu dan ia satu acara keramaian dihadiri semua penduduk kampung selain diisi dengan majlis bacaan doa selamat dan juga jamuan kenduri,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar PPK Seri Jerai G IV MADA Guar Chempedak, Muhammad Mustaqim Abdul Razak.

Menurut Haron, pada masa lalu, orang kampung bergotong-royong mengusung rumah kayu mereka ke tapak baru atas beberapa faktor seperti pembahagian tanah pusaka atau disebabkan penukaran hak milik tanah.

Penduduk yang hadir membantu, Mohd Saad Din, 53, berkata, dia teruja dimaklumkan mengenai majlis itu memandangkan ia sudah lama tidak diadakan di kampung mereka, sekali gus mengembalikan nostalgia di zaman mudanya.

Katanya, sudah lebih 20 tahun dia tidak melihat majlis mengusung rumah itu diadakan di kampung mereka berbeza seperti waktu dulu apabila majlis seperti itu diadakan beberapa kali setahun mengikut keperluan penduduk yang ingin berpindah rumah.

“Dulu, boleh dikatakan lebih dari tiga kali setahun kami akan mendapat jemputan untuk majlis mengusung rumah ini terutamanya bila tibanya musim angin timur dan cuaca kering seperti ini namun kini ia sudah hampir lenyap ditelan zaman.

“Majlis ini boleh diibaratkan sebagai pesta untuk penduduk kampung kerana bilangan penduduk yang hadir boleh mencecah sehingga 1,000 orang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Azlan Abd Halim, 31, berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai majlis seumpama itu.

Dia yang berasal dari Kelantan berkata, dia tidak pernah menyaksikan majlis sebegini diadakan di kampungnya.

“Saya teruja dan berasa bertuah kerana berpengalaman mengangkat dan mengusung rumah beramai-ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:55 AM