Zuliaty Zulkiffli

Guar Chempedak: Tiga kakitangan Jerai Hill Resort terselamat, manakala seorang lagi hilang selepas terperangkap dalam kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

Fenomena turut mengakibatkan banjir kilat di kampung sekitar kaki gunung di Yan dan Merbok dengan lebih 10 rumah dilapor rosak.

Seorang daripada kakitangan terselamat cedera di bahu dan dihantar ke hospital menggunakan khidmat EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.38 petang.

FENOMENA kepala air di Gunung Jerai yang menyebabkan banjir kilat, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
FENOMENA kepala air di Gunung Jerai yang menyebabkan banjir kilat, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.

Katanya, mangsa yang cedera adalah Muhamad Muslim Shaari, 36, manakala dua lagi kakitangan, Muhamad Soleh Abdul Halim, 30-an, dan Muhammad Siraj Munir Muhamad Abdul Malek, 33, tidak cedera.

"Setakat ini, masih terdapat seorang mangsa iaitu Mohamad Syahruzi Muhamad, 40-an, gagal dikesan dan dipercayai masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan kita sedang menunggu Unit STORM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk bantuan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

SAR turut disertai polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA).

BANJIR kilat di kaki Gunung Jerai. FOTO Ihsan Bomba.
BANJIR kilat di kaki Gunung Jerai. FOTO Ihsan Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 8:09 PM