ROSMAN bertukar dokumen bersama Mariam di majlis menandatangani perjanjian persefahaman  antara PERDA dan Perodua.
ROSMAN bertukar dokumen bersama Mariam di majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara PERDA dan Perodua.

Putrajaya: Selama 23 tahun terbabit industri automotif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tidak pernah menggaji pekerja asing untuk bekerja dalam syarikat pembuatan kereta kedua negara itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, semua pekerja di syarikat itu pekerja tempatan, kecuali beberapa rakan kongsi terdiri daripada rakyat Jepun bekerja sebagai pengurus atau jurutera.

“Terdapat 10,500 pekerja kami di seluruh negara dan semuanya warga tempatan. Namun, vendor kami masih menggunakan pekerja asing untuk melakukan kerja tertentu terutama membabitkan 3D (kotor, susah dan bahaya).

“Vendor mengakui memang menghadapi kesukaran mendapat pekerja tempatan bekeja dalam sektor ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU kerjasama antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PERDA-TECH Datuk Abdul Wahab Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah PERDA Mohd Yazid Osman.

MoU ditandatangani Pengurus Besar PERDA Rosman Hashim dan Pengurus Besar Kanan PSSB Mariam Ibrahim.

Jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak bertujuan meningkatkan modal insan melalui perkongsian ilmu dalam bidang automotif terutama di wilayah utara.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PERDA Mohd Yazid Osman berkata, menerusi kerjasama itu, PERDA melalui Institusi Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) menawarkan bangunan untuk dijadikan Pusat Latihan Teknikal Perodua dan kemudahan tempat tinggal bagi pelatih di daerah berkenaan seperti Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, Perodua pula akan membekalkan bahan latihan seperti peralatan teknologi, mesin dan latihan yang diatur seperti pusat servis Perodua sebenar, juga boleh digunakan PERDA-TECH tujuan pembelajaran.

“Kos keseluruhan melengkapkan bangunan itu RM250,000 meliputi kos alat bantu mengajar, peralatan, kenderaan untuk latihan, simulator enjin dan peralatan bengkel, manakala PERDA membelanjakan RM170,000 bagi kerja membaikpulih bangunan sedia ada untuk dijadikan Pusat Latihan Teknikal Perodua.

“Perodua juga turut membekalkan tenaga pengajar bagi membantu PERDA-TECH dalam mempertingkatkan kemahiran tenaga pengajar dan pelatih dalam bidang teknologi automatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:02 AM