PERDA-TECH mengambil pendekatan mempromosikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dalam pendidikan TVET.
PERDA-TECH mengambil pendekatan mempromosikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dalam pendidikan TVET.
Nor ’Asyikin Mat Hayin

Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) melahirkan 10,452 graduan sejak diwujudkan 33 tahun lalu.

Kini, 75 peratus graduannya berjaya mendapat pekerjaan. Ia jelas membuktikan pelatih Perda-Tech memiliki kualiti kemahiran dikehendaki pasaran pekerjaan.

Graduan Perda-Tech boleh menjadi tunjang kepada Malaysia untuk memiliki masyarakat berkemahiran tinggi melalui Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Ia sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050. Ikuti wawancara bersama Pengerusi Perda-Tech KHALIQ MEHTAB MOHD ISHAQ untuk berkongsi lanjut mengenai institusi kemahiran teknikal ini.

Kongsikan sejarah penubuhan Perda-Tech.

Perda-Tech mula beroperasi pada 1989 dengan nama Pusat Latihan Perda (PLP). Peringkat awal, ia menawarkan tiga kursus jangka pendek iaitu kursus asas kimpalan, kursus asas binaan bangunan dan asas pertukangan kayu. Kemudian, pada 16 Disember 2007, PLP dinaik taraf kepada Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech) dengan penyusunan semula kursus dan bidang pengajian yang ditawarkan. Penaiktarafan Perda-Tech menjadikannya institusi pendidikan kemahiran setaraf dengan institusi lain di Malaysia.

Perda-Tech juga diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah, Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bagi mengeluarkan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia yang menawarkan kursus selain mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Perkembangan terkini Perda-Tech?

Pada masa ini, Perda-Tech menawarkan tujuh program pengajian peringkat sijil dan enam pengajian peringkat diploma yang diiktiraf oleh badan pentauliahan seperti MQA, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Suruhanjaya Tenaga (ST). Di samping itu, Perda-Tech menawarkan empat kursus jangka pendek (lima bulan) yang dikenali sebagai Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (Sakti) untuk belia tercicir dalam pelajaran. Perda-Tech turut menawarkan kursus peningkatan kemahiran jangka pendek dalam bidang elektrik, teknologi maklumat (IT), automotif, kimpalan, jahitan dan teknologi pembuatan untuk pekerja industri serta orang awam.

Sejak 33 tahun penubuhan Perda-Tech, apakah kejayaan yang dilakar?

Perda-Tech menyertai beberapa pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan Asia sebagai usaha mengetengahkan bakat, kebolehan, kemampuan dan menggalakkan peningkatan kreativiti dalam kalangan pelatih serta tenaga pengajar. Penyertaan ini juga untuk mempromosi Perda-Tech sebagai institusi kemahiran disegani. Antara pertandingan yang disertai dalam tempoh tiga tahun ini, pertama, program '5th Southeast Asian Agricultural Engineering' di Politeknik Kota Bharu, Kelantan pada 2019. Dalam pertandingan ini, pelatih memenangi pingat perak untuk Tractor Parts Identification, Amazing Race (tempat kedua) dan juara Cultural Performance. Bagi kategori Product Innovation, melalui inovasi Flexi Wheel Barrow, kami memenangi pingat gangsa manakala Mushroom Case pula memenangi pingat perak. Pertandingan kedua National Innovation & Invention Competition Through Exhibition (iCompex 2020) yang mana pelatih Perda-Tech memenangi pingat perak untuk projek The Implementation of Augmented Reality In Enriching Technical Vocabularies Among TVET Students. Pertandingan ketiga Asia International Innovation Exhibition (AIINEX 2020). Pelatih kami memenangi pingat perak dalam projek The Implementation of Augmented Reality In Enriching Technical Vocabularies Among TVET Students. Selain itu, Perda-Tech juga menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records yang dianugerahkan kepada lima pelatih semester satu sijil teknologi maklumat dan dua pensyarah daripada jabatan teknologi elektrik kerana penyertaan dalam The Most Member of TVET Student Programming KNX Devices In An Event pada 30 September 2019. Pada tahun itu juga, Perda-Tech dianugerahi lima bintang untuk tujuh program dan empat bintang bagi satu program di bawah Sijil Kemahiran Malaysia/Diploma Kemahiran Malaysia Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam Audit Penarafan Bintang.

KHALIQ Mehtab Mohd Ishaq.  FOTO Aziah Azmee
KHALIQ Mehtab Mohd Ishaq. FOTO Aziah Azmee

Pendidikan TVET di negara ini kurang mendapat sambutan. Apakah pendekatan Perda-Tech bagi menarik minat golongan muda untuk memilih mengikuti latihan di sini?

Perda-Tech mengambil pendekatan mempromosikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik seperti penggunaan teknologi digital, bahan pengajian kreatif, kerjasama dan perkongsian teknologi terkini serta lawatan ke industri secara berkala. Lawatan industri ini untuk membuka minda pelatih dan menarik minat mereka terhadap sesuatu bidang pengajian.Perda-Tech juga menitik berat nilai tambahan kepada setiap program pengajian seperti sijil profesional Cisco IT Essential untuk pelatih OT serta sijil pendawaian fasa tunggal (PW2) untuk pelatih kursus elektrik. Terbaharu, Perda-Tech memperkenalkan sistem atau budaya dan persekitaran kerja (Dojo) dalam bidang automotif melalui kerjasama dengan Perodua.

Adakah ada jaminan pelatih yang mengikuti pengajian di Perda-Tech mendapat pekerjaan?

Graduan Perda-Tech ini mempunyai keboleh pasaran kerja. Berdasarkan statistik, 75 peratus daripada graduan pusat latihan ini sudah mendapat pekerjaan dalam bidang dipelajari. Hanya 13 peratus yang bekerja di luar bidang. Manakala 12 peratus graduan sudah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Kajian tahun lalu menunjukkan, lebih 55 peratus graduan diterima bekerja di tempat mereka menjalani latihan industri dan saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Perda-Tech sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pihak industri dalam usaha menempatkan pelatih menjalani latihan industri dan seterusnya menerima tawaran pekerjaan.

Perda-Tech menjalinkan kerjasama dengan 19 organisasi. Antaranya Perodua, UiTM, UUM, UniMap, ABM dan Mimos. Apakah kelebihan kerjasama ini kepada pelatih?

Kerjasama dengan pemain industri membolehkan pelatih mendapat pendedahan secara langsung dalam alam pekerjaan sebenar melalui latihan industri, lawatan dan paling utama adalah tawaran pekerjaan daripada rakan kerjasama industri. Manakala kerjasama dengan institusi pendidikan pula akan memberi peluang kepada pelatih untuk menggunakan kemudahan lebih baik yang terdapat di institut berkenaan bagi pengajian modul tertentu.

Harapan tuan terhadap Perda-Tech dan graduan yang lahir daripada pusat latihan ini.

Saya berharap Perda-Tech dapat meneruskan kecemerlangan dan melahirkan lebih ramai pelatih yang cenderung dalam TVET. Kepada graduan yang sudah menamatkan pengajian dan berjaya dalam kerjaya, mereka dialu-alukan berkongsi ilmu dan melatih pelatih untuk lebih cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 2:26 PM