Nik Ahmad Sabri (kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Pusat Rawatan Mahsuri, Alimen Ahmad selepas mengadakan perbincangan mengenai kes tertukar bayi.
Nik Ahmad Sabri (kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Pusat Rawatan Mahsuri, Alimen Ahmad selepas mengadakan perbincangan mengenai kes tertukar bayi.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Pengurusan Hospital Pusat Rawatan Mahsuri, Bandar Darulaman, di sini, mengambil langkah proaktif dengan memanggil semula dua pasangan yang dikatakan tertukar bayi sebaik menyedari kesilapan berlaku.

Pengarahnya, Dr Khairul Faizi Khalid berkata, kejadian tertukar bayi itu hanya berlaku dalam tempoh dua jam dan pihaknya tidak melengah-lengahkan masa sebaik menyedari kesilapan yang berlaku, sekali gus menyelesaikan masalah.

Menurutnya, perbincangan dengan kedua-dua keluarga terbabit berhubung masalah itu juga dilakukan.

“Kita mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atas persetujuan semua pihak dan keputusannya dijangka diperoleh dalam dua minggu lagi.

“Malah, bayi tertukar itu juga diserahkan semula kepada keluarga masing-masing dan buat masa ini, satu pasangan sudah pulang sementara isteri Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, iaitu Mahani Zakaria, 36, masih berada di wad hospital ini,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak pihaknya beroperasi sejak lima tahun lalu.

“Kami melaporkan kes itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

“Semua kos perbelanjaan bayi berkenaan diberi percuma sebagai tanda komitmen hospital terhadap kes ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, walaupun isu itu dianggap selesai selepas bayi dikembalikan semula, namun ia masalah serius membabitkan kesahihan identiti bayi dilahirkan.

“Kita khuatir ia menimbulkan keraguan orang awam yang mahu bersalin atau mendapatkan rawatan ke pusat perubatan itu .

“Kalau mereka lepas tangan, ia tidak bagus sebab berkait dengan kecuaian di pusat perubatan. Walaupun mereka meminta maaf, namun tindakan tetap diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:11 AM