Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Siasatan awal mendapati wujud kelemahan di segi pengendalian bayi ketika di wad dan ketidakpatuhan terhadap prosedur discaj.

Keadaan itu dikatakan antara puca sehingga menyebabkan berlaku kejadian tertukar bayi hospital swasta berlesen di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun pihak hospital swasta terbabit sudah mengambil langkah untuk menyelesaikan isu pertukaran bayi itu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.

"Insiden itu tidak sewajarnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang berlesen di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

"Mengikut Akta 586 dan Peraturan-peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006 menetapkan keperluan perundangan berkaitan pengenalan diri pesakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak hospital swasta perlu memastikan mana-mana ibu dan bayi yang baru lahir diberikan pengenalan diri melalui tag nama atau peranti lain yang sesuai serta mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu, tarikh lahir dan jantina bayi.

"Tanda pengenalan diri ini perlu disemak terutama semasa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin atau wad," katanya.

Beliau menerusi kenyataan itu mengulas kejadian menimpa suami isteri di Bandar Darulaman, 7 Januari lalu.

Pasangan itu mendakwa kakitangan pusat perubatan swasta cuai sehingga bayi perempuan mereka berusia tiga hari tertukar dengan bayi pasangan lain.

Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, berkata, isterinya, Mahani Zakaria, 36, melahirkan bayi kelima mereka di pusat perubatan itu pada 4.04 petang selepas dua jam bayi perempuan satu lagi pasangan dilahirkan di bilik bersalin sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 11:48 AM
MAHANI Zakaria, 36, bersama bayi perempuan yang disahkan status sebagai anaknya yang sahih hasil ujian DNA. FOTO  Zuliaty Zulkiffli
MAHANI Zakaria, 36, bersama bayi perempuan yang disahkan status sebagai anaknya yang sahih hasil ujian DNA. FOTO Zuliaty Zulkiffli