ANTARA penagih dadah yang ditahan  penguat kuasa AADK dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram.
ANTARA penagih dadah yang ditahan penguat kuasa AADK dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram.
Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Taktik lapuk seorang lelaki disyaki penagih dadah bersembunyi di belakang pintu bilik air untuk melepaskan diri daripada ditahan ternyata sia-sia apabila dia dicekup pegawai penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (OPS-BAH) di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, di sini, petang semalam.

Malah, siasatan awal terhadap lelaki berusia 30 an itu mendapati dia disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Bukan itu saja, pemeriksaan lanjut mendapati ada alat dan barang yang digunakan untuk tujuan berkenaan menyebabkannya ditahan untuk tindakan lanjut.

Operasi jam 5 petang itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan penduduk di kawasan terbabit.

Ketua Pengarah AADK Datuk Suhaimi Abdullah berkata, kira-kira 25 individu ditahan dalam operasi di kawasan PPR itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selain turut mempunyai rekod jenayah lampau.

“Seramai 160 pegawai dan anggota menyertai operasi berkenaan, khusus membanteras penyalahgunaan dadah dan maksiat di kawasan PPR.

“Kami kenal pasti 22 kawasan ‘panas’ yang aktif penyalahgunaan dadah dan operasi dilaksanakan berdasar aduan serta intipan yang dilakukan sebelum ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk memastikan kawasan ‘panas’ itu bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menjalinkan kerjasama antara NGO dan persatuan penduduk.

“Antara kawasan ‘panas’ terbabit adalah Sentul, Cheras, Dang Wangi dan Brickfields yang sering menjadi lokasi melepaskan gian selain aktiviti pengedaran dadah turut dijalankan secara berleluasa.

“Selain kawasan semak dan belukar, kami juga memeriksa rumah penduduk PPR yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya, di sini.

Menurutnya, ada antara kawasan sudah diserbu sebelum ini, namun penagih dan pengedar tetap menjalankan aktiviti terbabit tanpa rasa takut menyebabkan operasi lebih kerap digerakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 8:00 AM