Norizuan Shamsuddin dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penagih dadah memberi alasan 'pening lalat' dalam usaha meraih simpati pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (OPS BAH) Wilayah Persekutuan Siri 27, di Projek Perumahan Awam (PPR) Sri Perak, malam tadi.

Alasan yang diberikan penagih berusia lingkungan 50-an itu mengundang rasa geli hati di kalangan pegawai AADK yang melihatnya seperti lalok sebelum bertindak menahan lelaki itu.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, lelaki terbabit antara 12 individuyang ditahan selepas disyaki menjadikan kawasan PPR berkenaan sebagai lokasi melepaskan gian.

Operasi yang dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain mensasarkan beberapa lokasi panas seperti PPR di kawasan bandar ini.

"Setakat 12 tengah malam tadi, kami menahan 11 lelaki dan seorang perempuan yang disyaki penagih dadah.

"Kebanyakan individu berkenaan pernah ditahan sebelum ini namun mereka tidak serik dan masih menjadikan kawasan PPR sebagai tempat melepaskan gian," katanya ketika ditemui,di sini.

OPS BAH berkenaan turut mensasarkan pusat judi haram dan hotel bajet di sekitar bandar ini yang dikenalpasti menjadi sarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 1:11 AM
ANTARA penagih yang ditahan dalam OPS BAH Wilayah Persekutuan. FOTO Syazwan Msar
ANTARA penagih yang ditahan dalam OPS BAH Wilayah Persekutuan. FOTO Syazwan Msar