SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang dicekup.
SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang dicekup.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Mengaku adik kepada artis terkenal dengan harapan dapat dibebaskan. Itu antara gelagat remaja berumur 18 tahun yang ditahan dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Cheras, di sini, semalam.

Remaja terbabit ditahan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PRR) Pudu Ulu ketika sedang melepak bersama rakannya.

Hasil saringan air kencing serta merta dilakukan mendapati remaja terbabit positif mengambil dadah.

Ketua Pengarah AADK Datuk Suhaimi Abdullah berkata, seramai 69 individu berusia antara 15 sehingga 68 ditahan dalam operasi bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam itu.

Menurutnya, terdapat 11 lokasi ‘panas’ penagih yang dikenal pasti dan kebanyakannya kawasan PPR.

“Antara PPR berkenaan adalah PPR Pudu Ulu, PPR Tun Abdul Razak dan Flat Sri Sabah,” katanya pada sidang media di Dataran Shamelin di sini.

Katanya, pihak AADK akan menempatkan anggota termasuk pegawai AADK di kawasan panas berkenaan bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah.

“Mereka akan bersama penduduk di kawasan itu dalam tempoh masa tertentu. Ia diyakini dapat membantu mengurangkan aktiviti penagihan dadah di kawasan itu.

“Langkah itu juga dapat mengawal bilangan penagih baru yang dikesan menunjukkan peningkatan. Sebanyak 13,481 penagih baru dikesan pada 2013,” katanya.

Dalam operasi itu, 32 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 manakala 16 individu ditahan mengikut Seksyen 6(2), dan 22 individu ditahan mengikut Seksyen 8(3) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 7:44 AM