ANTARA yang ditahan dalam serbuan AADK, baru-baru ini.
ANTARA yang ditahan dalam serbuan AADK, baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi wanita yang hamil dua bulan adalah antara 30 penagih dadah yang ditahan sepanjang operasi Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak bermula pada 12 Disember lalu.

Wanita 30 tahun yang belum berkahwin itu adalah penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia Izhar Abu Taib berkata, wanita itu ditahan teman lelakinya di kawasan semak berhampiran PPR Seri Semarak, tidak jauh dari PPR Sungai Bonus.

“Ketika ditahan kedua-dua mereka dalam keadaan khayal dan ujian air kencing terhadap wanita itu mendapati dia positif mengambil dadah jenis syabu. Wanita itu diserahkan kepada polis untuk dihantar ke pusat pemulihan dadah,” katanya ketika merasmikan Majlis Program ‘Omnipresence’ AADK di PPR Sungai Bonus, di sini, semalam.

Izhar berkata, sepanjang operasi yang berakhir Khamis itu, 40 penduduk PPR Sungai Bonus diperiksa secara rambang oleh penguat kuasa AADK.

“Daripada jumlah itu, 30 individu lingkungan 20 hingga 50 tahun didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Malah, kami turut menahan empat pengedar dadah kecil-kecilan.

“Sebanyak 45 peket heroin serta tiga paket syabu bernilai RM3,000 dirampas,” katanya.

Izhar mengakui operasi yang dijalankan itu adalah operasi bersepadu julung kali diadakan bagi menangani kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berisiko tinggi seperti PPR.

“Kita mengenalpasti sepuluh kawasan PPR di daerah Sentul yang berisiko tinggi terbabit dalam gejala penyalahgunaan dadah iaitu di Wangsa Sari, Jelatek, Desa Rejang, Intan Baiduri, Batu Muda, Sungai Bonus, Sri Perak, Sri Kelantan, Taman Wahyu dan Datuk Keramat serta kita akan menggempur tempat ini selepas ini,” katanya.

Izhar berkata, pihaknya mendapati kawasan Pangsapuri San Peng di Jalan San Peng yang terletak di daerah Dang Wangi adalah kawasan ‘panas’ dan mencatatkan ramai yang terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah.

“Apa yang kita lihat, trend penagihan dadah di kawasan PPR adalah mereka tidak lagi mengambil dadah di ‘port’ tersembunyi, sebaliknya lebih senang di kawasan gelap sekitar PPR seperti di bawah tangga atau di kawasan yang jarang dilalui orang awam,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, AADK bekerjasama dengan persatuan penduduk bagi mengetahui lokasi selalu digunakan oleh penagih dan pengedar dadah ini.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Pengerusi Penduduk Perumahan Awam/ PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Razak Abdul Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:16 AM