AHMAD Husni  (tiga dari kiri)  dan Norizam (dua dari kanan) merasmikan Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2015 di PWTC, semalam.
AHMAD Husni (tiga dari kiri) dan Norizam (dua dari kanan) merasmikan Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2015 di PWTC, semalam.

Kuala Lumpur: Kurang pengetahuan berkaitan ilmu pelaburan serta tidak mengetahui aktiviti perniagaan syarikat yang dilabur mengakibatkan ramai rakyat di negara ini kerugian kerana terpedaya dengan janji manis ditawarkan penipuan pelaburan haram dan skim cepat kaya.

Presiden Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PSMM) Norizam Tukiman berkata, atas kesedaran itu pentingnya semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta agensi berkaitan pelaburan berganding bahu menganjurkan program seperti ekspo, kursus serta seminar dengan lebih kerap supaya masyarakat tidak tersalah pilihan melabur.

Menurut Norizam, beliau yakin dengan usaha seumpama itu masalah skim cepat kaya dan pelaburan haram selesai dalam tempoh tiga tahun akan datang serta pada masa sama industri kewangan modal negara semakin meningkat.

“Masalah masyarakat kita ini mereka hanya tahu nama syarikat tetapi malangnya mereka tidak tahu apa jenis aktiviti perniagaan syarikat yang mereka labur hingga menyebabkan mereka tertipu.

“Berdasarkan statistik daripada PSMM sendiri, kita melihat penyertaan orang muda menyertai pelaburan meningkat 36 peratus tahun ini yang menunjukkan mereka sudah mula minat pelaburan saham cuma masalahnya strategi dan caranya mereka tidak tahu.

“Saya juga difahamkan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Securiti Malaysia ada menganjurkan program di universiti tempatan, di pihak PSMM sendiri kita akan perluaskan lagi program mendekati anak muda terutama di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Ekspo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ekspo tiga hari bermula kelmarin itu menghimpunkan 100 gerai pameran daripada syarikat, agensi, koperasi dan bank dari seluruh Malaysia yang menyediakan peluang pelaburan, unit amanah dan perniagaan sah kepada pengunjung.

Norizam berkata, menerusi MISEE pihaknya berharap masyarakat dapat menggunakan platform berkenaan bagi membuat pelaburan bijak dengan syarikat yang sah saja.

“Dalam ekspo ini, pengunjung tidak perlu risau mereka boleh mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pelaburan dan pasaran saham di bawah satu bumbung tanpa rasa ragu-ragu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:20 AM