MURID SK Batu Tujuh gembira sambil menunjukkan buku pelaburan yang diterima.
MURID SK Batu Tujuh gembira sambil menunjukkan buku pelaburan yang diterima.

Tapah: Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama anak syarikat milik penuh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) buat julung kalinya menyumbang RM50 untuk semua 492 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tujuh sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM),di sini, semalam.

SK Batu Tujuh yang mempunyai keseluruhan pelajar masyarakat Orang Asli menerima sumbangan RM50 setiap seorang sebagai pelaburan permulaan untuk membuka akaun Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) di peringkat awal dan menyuntik semangat minat menabung kepada kanak-kanak.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan malah boleh melabur dalam skim amanah saham seperti golongan Bumiputra dan PNB menganggap mereka adalah saudara sejati.

“Sumbangan ini adalah sebagai kesedaran awal kepada pelajar sekolah berkenaan mengenai kepentingan pelaburan dan mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan skim-skim pelaburan yang tidak sah.

“Selain itu, hari ini (semalam) PNB bersama anak syarikat milik penuh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) juga menganjurkan program kemasyarakatan di sekolah ini serta menyumbang sebuah wakaf untuk kegunaan kakitangan sekolah dan ibu bapa,” katanya dalam ucapan sempena program itu semalam.

Pada majlis itu, Ahmad Sarji turut mengumumkan PNB berbesar hati menyumbang RM100,000 bagi projek Teratak Semai untuk perkampungan Orang Asli yang setakat ini sudah membina 17 rumah Orang Asli di daerah Tapah.

Sementara itu, Guru Besar SK Batu Tujuh, Hatiyah Abu Hassan berkata, pihaknya akan memberi nasihat dan memastikan sumbangan itu dapat memberi kesedaran kepada murid dalam memupuk semangat menabung.

“Kita akan menasihati keluarga mereka supaya tidak mengeluarkan duit itu terlalu awal.

“Hal ini kerana sekolah ini adalah sekolah Orang Asli tanpa asrama yang terbesar di Malaysia dan sering mendapat sumbangan serta penghargaan atas kejayaan yang dikecapi. Justeru mereka boleh menabung dalam akaun pelaburan dengan sumbangan yang diterima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif kumpulan PNB Tan Sri Datuk Seri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pihaknya merekodkan purata pengunjung yang datang ke program MSAM mencecah 24,000 sehingga 25,000 pengunjung sehari.

Katanya, sepanjang tiga hari sejak 20 hingga 22 April MSAM berlangsung, program itu menerima 71,194 kunjungan dan bakal melepasi sasaran seperti yang dianggarkan iaitu 150,000 pengunjung.

“Sambutan kali ini sangat menggalakkan dan saya yakin jumlah pengunjung akan melepasi sasaran yang ditetapkan seperti yang berlaku di MSAM Sibu, Sarawak tahun lalu kerana program yang dianjurkan berkonsepkan kemasyarakatan yang boleh dikunjungi semua lapisan usia.

“Selain itu, MSAM juga menampilkan ramai selebriti yang menarik pengunjung untuk berkongsi pengalaman perancangan kewangan, mengadakan simposium keusahawanan dan program konsep syariah seperti ceramah agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:40 AM