Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai penganjuran skim cepat kaya atau skim yang menawarkan pulangan wang yang tidak masuk akal tanpa risiko bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penolong Pengurus Besar Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kamarul Rozman Nordin berkata, dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, pelbagai skim berkaitan muncul di platform media sosial dan iklan di laman sesawang tertentu dan menggunakan pendekatan seperti WhatsApp, SMS, e-mel dan panggilan telefon untuk berhubung dengan mangsa.

"Ada juga penganjur yang menggunakan nama syarikat yang sah dan mengklon syarikat atau entiti itu sebagai modus operandi mereka. Apabila penganjur mengatakan pulangan wang sudah ada, helah mereka yang seterusnya, selalunya akan meminta mangsa membayar sejumlah wang seperti yuran dan sebagainya.

"Mereka akan menunjukkan pelbagai sijil kononnya sebagai bukti dan selepas mangsa membayar, penganjur ini akan lari dan mangsa akan gigit jari," katanya pada Siri Webinar Penipuan Kewangan: Skim Cepat Kaya: Dijanjikan Keuntungan Berganda, Biarlah Berpada anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) melalui laman Facebook Amaran Scam pada Rabu.

Katanya, walaupun mana-mana individu atau entiti boleh mendaftar melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ini tidak bermaksud ia bebas menawarkan apa-apa produk kewangan kerana memerlukan kelulusan, pendaftaran dan mendapat lesen daripada SC, contohnya membabitkan saham syarikat, bon, syiling kripto, ekuiti skim pendanaan awam dan sukuk.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menyedari bahawa tiada skim pelaburan sah yang memerlukan pelabur memindahkan wang ke akaun persendirian, sebaliknya hanya ke akaun rasmi entiti yang berlesen atau berdaftar dengan SC.

"Jangan sekali-kali pindahkan wang ke akaun individu walaupun penganjur itu menunjukkan kad perniagaan dan sebagainya sebagai bukti. Jika anda ragu-ragu, hubungi SC di talian 03-62048999 atau [email protected]," kata Kamarul.

Katanya, orang ramai boleh merujuk aplikasi portal 'Semak Mule' PDRM untuk mengesahkan sama ada akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sudah dilaporkan kepada polis.

Semakan juga boleh dibuat menerusi BNM yang menyediakan Senarai Amaran Pengguna Kewangan (bnm.my/fca) dan SC melalui senarai Peringatan Pelabur (www.sc.com.my/investor-alert ) yang memaparkan entiti dan skim yang tidak mendapat kelulusan BNM dan SC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:21 AM