Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyumbang hampir RM1.6 juta kepada 15,492 anak PERMATA Negara sebagai modal permulaan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2).

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, nilai pelaburan itu berjumlah RM100 atau 100 unit bagi setiap anak PERMATA Negara, sekali gus sebagai usaha awal mendidik generasi muda supaya belajar menabung.

Beliau yang juga Penaung Program PERMATA berkata, ia akan dimanfaatkan seramai 15,492 anak-anak PERMATA merangkumi Pusat Anak PERMATA Negara, PERMATA KEMAS, PERMATA Perpaduan dan Integrasi Nasional; Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Taska Tempat Kerja.

“Sehubungan itu, ibu bapa boleh mengambil peluang ini untuk meneruskan pelaburan bagi anak mereka dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Jika ibu bapa berdisiplin membuat penambahan pelaburan walaupun sedikit tetapi secara konsisten, ia memberi peluang wang pelaburan anak berkembang dengan baik, sebagai contoh, sumbangan RM100 yang diterima hari ini (semalam) sekiranya dikekalkan dalam ASB2 selama 18 tahun tanpa tambahan akan meningkat kepada RM230 dengan andaian kadar pulangan lima peratus setahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pelaburan ASB2 Anak PERMATANegara di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Mahmood.

Lebih 700 taska yang menempatkan anak PERMATA Negara menerima manfaat menerusi buku pelaburan ASB2 membabitkan kanak-kanak berumur bawah empat tahun.

Rosmah berkata, dalam masa sama ibu bapa juga perlu menunjukkan teladan yang baik dengan membuat tabungan secara berterusan termasuk menunjukkan perlakuan itu di hadapan anak mereka supaya ia menjadi ikutan.

Menurutnya, beliau berharap usaha itu akan melahirkan lebih ramai masyarakat celik pelaburan di samping mengajar amalan berjimat serta melaburkan wang simpanan secara lebih berfaedah dan selamat.

“Sekiranya amalan menabung khususnya pelaburan dalam saham amanah ini diterus dan dipertingkatkan, rakyat sebenarnya dapat sama-sama menyumbang kepada peningkatan tabungan negara, selain menjadi mekanisma berkesan bagi mengagihkan kekayaan ekonomi negara secara sama rata.

“Ia juga menjadi instrumen pelaburan yang menarik kerana menawarkan pulangan berpadanan dengan risiko pelaburan dan sebagai pelabur kita tidak perlu gusar kerana ianya diuruskan oleh pengurus profesional,” katanya.

Pada majlis sama, Rosmah berkata, orang ramai juga diminta untuk tidak terpengaruh dengan skim cepat kaya.

“Kebelakangan ini kita sering didedahkan dengan pelbagai kisah rakyat tertipu dengan satu skim cepat kaya dianjurkan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kerugian menjangkau puluhan ribu ringgit.

“Jumlah ini jika dilaburkan dalam saham amanah seperti PNB adalah jauh lebih baik dan selamat,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang ramai perlu sentiasa mendapatkan pengetahuan mengenai pelaburan supaya dapat mengelakkan dari tertipu dengan sebarang skim penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:34 AM