SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad terkandas di LTAL.
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad terkandas di LTAL.
Oleh Norul Awatif Romli dan Hamzah Osman

Langkawi: Seramai 43 murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, di sini, antara ribuan penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), apabila 34 penerbangan dibatalkan dan 12 penerbangan lagi ditunda jadualnya.

Tinjauan mendapati, kumpulan pelajar dan guru terbabit tiba di LTAL seawal jam 9 pagi untuk mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur jam 11.30 pagi untuk program Lawatan Sambil Belajar.

Guru Pengiring, Rositha Sulaiman berkata, mereka terpaksa menangguhkan perjalanan selepas dimaklumkan penerbangan yang dijadualkan ke Kuala Lumpur semalam dibatalkan.

“Pelajar teruja untuk memulakan lawatan lima hari ke Kuala Lumpur dan Terengganu, tetapi terbantut apabila dimaklumkan jadual penerbangan kami hari ini (semalam) dibatalkan akibat jerebu.

“Terima saja kerana ia bencana alam, tetapi sedikit rasa tidak selesa kerana terpaksa menanggung beberapa kerugian apabila tempahan makanan minum dan penginapan di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan,” katanya ketika ditemui di LTAL, di sini, semalam.

Beliau berkata, ekoran pembatalan itu, semua pelajar diarahkan pulang ke rumah masing-masing sebelum berkumpul semula hari ini untuk meneruskan program yang disusun sejak awal tahun ini.

Pelancong tempatan, Nor Asma Abu Bakar, 39, dari Tanjung Karang, Selangor berkata, dia terpaksa memanjangkan cutinya bersama suami dan dua anaknya berikutan penerbangan dibatalkan.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airport Berhad Langkawi, Jefry Ramli ketika dihubungi mengesahkan pembatalan penerbangan itu dan meminta penumpang menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapat jadual penerbangan terkini.

“Sehingga kini (petang semalam), operasi LTAL tidak ditutup, tetapi pembatalan sejumlah penerbangan dibuat oleh syarikat penerbangan sendiri,” katanya.

Setakat jam 3 petang semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Langkawi mencatat bacaan 153.

Di Alor Setar, satu penerbangan membabitkan Syarikat Penerbangan Air Asia yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) terpaksa dibatalkan berikutan jerebu yang kembali melanda bandaraya ini sejak kelmarin.

Jurucakap Air Asia Alor Setar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, penerbangan berkenaan adalah dari Alor Setar ke Kuala Lumpur yang sepatutnya berlepas pada jam 8.35 pagi, namun terpaksa dibatalkan akibat cuaca tidak mengizinkan berikutan jerebu.

“Kami terpaksa membatalkan penerbangan demi keselamatan penumpang selepas pemantauan dijalankan mendapati keadaan jerebu berada pada tahap semakin membimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus LTSAH Puteh Ramli berkata, LTSAH beroperasi seperti biasa dan hampir semua penerbangan mengikut jadual walaupun keadaan jerebu yang sedang melanda negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:59 AM