Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini, ditutup selama dua setengah jam akibat jerebu mulai 7.30 pagi ini.

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli berkata, penutupan operasi itu dibuat selepas jarak penglihatan terhad kepada 550 meter.

Berikutan itu, katanya, hampir 3,000 penumpang termasuk yang terkandas sejak semalam tidak dapat berlepas dan masih menunggu perkembangan terkini.

"Sejak 7.30 pagi hingga 11 pagi ini tiada penerbangan keluar masuk di LTAL dan jadual terkini bergantung kepada syarikat penerbangan.

"Sehingga 11.30 pagi ini juga, 12 penerbangan dibatalkan dan tiga lagi ditunda," katanya ketika ditemui di sini.

Turut terkandas membabitkan 26 murid dan guru Kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Serdang (SKS), Selangor yang sepatutnya mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur jam 9.10 malam tadi.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SKS, Rafeah Alwi berkata, akibat pembatalan penerbangan itu mereka mengalami kesulitan kewangan kerana bajet tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.

"Alhamdulillah, beberapa pihak di sini tampil membantu termasuk menyediakan makan minum dan tempat menginap kepada pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 2:15 PM
KEADAAN jerubu di pekan Kuah semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat. FOTO Hamzah Osman
KEADAAN jerubu di pekan Kuah semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat. FOTO Hamzah Osman