CANSELOR USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud menyampaikan skrol kepada graduan ketika Majlis Konvokesyen ke-17 USIM. FOTO ADZLAN SIDEK
CANSELOR USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud menyampaikan skrol kepada graduan ketika Majlis Konvokesyen ke-17 USIM. FOTO ADZLAN SIDEK
Mohd Amin Jalil


CABARAN dunia luar yang semakin kompetitif memerlukan graduan mempunyai asas agama Islam kukuh.

Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah, konsep integrasi ilmu aqli dan naqli yang ditekankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penuntut menepati dalam melahirkan insan yang mampu membangunkan diri, keluarga dan masyarakat dalam kerangka Islam.

“Adalah menjadi matlamat USIM melahirkan insan yang mampu membangunkan diri, keluarga dan masyarakat dalam kerangka Islam yang sentiasa utuh dalam diri dan pemikiran.

“Tambahan pula, akhir-akhir ini banyak laporan mengenai keruntuhan akhlak yang menyebabkan berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai jenayah lain.

“Beta yakin hanya dengan ilmu tinggi dan asas kerohanian kukuh, masyarakat mampu menahan diri daripada melakukan atau terjebak dengan perlakuan jenayah yang boleh meruntuhkan masyarakat,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen ke-17 USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, hari ini.

Turut hadir Pro Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Baginda bertitah, majlis konvokesyen harus disambut dengan penuh tertib dan protokol yang sesuai dengan taraf universiti sebagai institusi ilmu tertinggi.

“Ia juga diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada kejayaan kamu sebagai mahasiswa selepas sekian lama bertungkus lumus mengharungi cabaran sebagai penuntut.

“Oleh itu, istiadat konvokesyen seperti ini seharusnya dihormati kerana ketinggian ilmu perlu hadir bersama ketinggian budi pekerti dan akhlak mulia, bak kata orang cerdik pandai ‘semiskin-miskin manusia ialah mereka yang kurang adab dan budi pekerti’,” titahnya.

Pada majlis istiadat pembukaan itu, Tuanku Aishah Rohani berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PHD) Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Ijazah Kehormat Sarjana Dakwah dan Pengurusan Islam kepada mantan pendaftar pertama USIM, Addenan Abd Rahman.

Seramai 2,629 graduan menerima ijazah dengan 95 penerima doktor falsafah (PhD), 89 penerima sarjana; 136 (Diploma Pascasiswazah) dan 2,309 penerima ijazah sarjana muda.

Graduan PhD tahun ini adalah daripada 20 negara antaranya Libya, Jordan, Iraq, Gambia, Finland, Mesir, Oman, Bangladesh, China, Yemen, Singapura.

Tahun ini juga mencatat graduan PhD paling ramai adalah daripada negara Libya iaitu seramai 24 penuntut dan Oman yang kedua tertinggi iaitu seramai 21 orang.

Pada majlis sama, dua graduan cemerlang dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu graduan Sarjana Muda Perubatan dan Sains Kesihatan, Nurul Mukminah Muhammad Suzuri dan graduan Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat, Zati Nazifah Abdul Rahim.

Dua penerima Anugerah Canselor iaitu graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Sharifah Thahirah Syed Mustafa dan graduan Doktor Falsafah Komunikasi (Siswazah) dari Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, Idris Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 2:37 PM