RAJA muda Perlis.
RAJA muda Perlis.
BERNAMA

Arau: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah menjadi universiti teknikal pertama di negara ini menerima Anugerah Pensijilan TVET Profesional Terbaik Malaysia menerusi Anugerah Pendidikan dan TVET Malaysia (META) 2023, baru-baru ini.

Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara faktor kejayaan itu kerana memberi fokus terhadap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi dalam bidang berteknologi terkehadapan seperti sektor elektrik dan elektronik, terutamanya perindustrian semikonduktor.

"UniMAP melalui penubuhan Pusat TVET mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan berkualiti dan memperkasakan pelajar UniMAP dengan ilmu pengetahuan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal, meningkatkan kebolehpasaran modal insan seiring kehendak pemain industri serta menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama generasi muda," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-18 UniMAP berlangsung di Dewan Ilmu, UniMAP, di sini, bermula hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Seramai 3,555 graduan menerima ijazah masing-masing dalam konvokesyen kali ini terdiri daripada 2,657 penerima ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (121), ijazah doktor falsafah (67), diploma (551) dan 159 graduan Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 4:36 PM