PAUL (kiri) bersama pegawainya menunjukkan 157,500 karton rokoh haram.
PAUL (kiri) bersama pegawainya menunjukkan 157,500 karton rokoh haram.
PPM turut merampas lori yang membawa muatan rokok seludup.
PPM turut merampas lori yang membawa muatan rokok seludup.
 Paul (kiri)  menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Paul (kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor mengenal pasti kawasan pesisir pantai sejauh 80 kilometer dari Kota Tinggi ke Sedili, Mersing sebagai pangkalan haram kumpulan penyeludup membawa masuk rokok seludup ke negeri ini.

Komandannya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dengan menggunakan khidmat bot asing, kumpulan penyeludup akan memunggah rokok menggunakan kenderaan khas sebelum dipindahkan pada waktu tertentu selepas mendapat isyarat selamat.

Beliau berkata, taktik sindiket itu dikesan menerusi rampasan terbaru membabitkan 157,500 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta di pantai Tanjung Kelisa, Kota Tinggi, kelmarin.

“Ia hasil risikan PPM dari Pengerang dan Tampoi ke tempat rahsia dikenal pasti pernah menjadi lokasi sindiket penyeludupan mendaratkan rokok dalam empat serbuan yang pernah dijalankan pasukan itu sepanjang tahun ini.

“Siasatan turut mendapati sindiket sering mengubah lokasi rahsia bagi mengaburi pihak berkuasa, namun berjaya dikesan berikutan lokasi panas itu sering menjadi sasaran operasi kegiatan penyeludupan rokok di negeri ini,” katanya pada sidang media di Jalan Pengkalan Rinting di sini, semalam.

Menurutnya, semua rokok seludup itu dijual ke pasaran tempatan menerusi ejen khas yang sudah dikenal pasti di seluruh negara.

“Setiap rokok dibawa membawa keuntungan berbeza, namun setiap kotak dipasarkan mampu membawa keuntungan sehingga RM3 sekotak,” katanya.

Katanya, rampasan terbesar itu berjaya hasil maklumat penyeludupan rokok diterima sebelum menggerakkan 12 anggota dari PPM Pengerang dan Tampoi ke kawasan itu, jam 4 petang kelmarin,

“Sebaik tiba di kawasan itu, kelihatan beberapa orang sedang memunggah kotak dipercayai rokok seludup dari pantai ke dalam sebuah lori.

“Menyedari kehadiran polis, semua suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap lori mendapati ia penuh dengan muatan kotak rokok keretek dipercayai cuba diseludup masuk.

“Lori bersama barangan rampasan membabitkan 157,500 karton rokok keretek jenama LA Light, Djarum Black Mind dan Djarum Super Mild bernilai RM1.5 juta dibawa ke pejabat PPM Pengerang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e), Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:59 AM