Oleh Murni Wan Omar dan Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Dua peniaga dijatuhi hukuman penjara empat hari serta denda masing-masing RM3,500 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Majistret Mohd Hezri Shaharil menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhtar Jamil, 49, dan Shaikh Abdul Cader Sathakadullah Khan, 45, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu selain memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Muhtar didakwa memiliki barang larangan iaitu 194 peket (3,212 batang) rokok putih dan keretek seludup pelbagai jenama bernilai RM311.80 yang mana barangan itu dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 di premis perniagaan JR Maulana Mini Market, No 7, Jalan Sri Puchong, Taman Sri Puchong pada jam 2.15 petang, 25 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Shaikh Abdul Cader pula didakwa memiliki 165 peket (3,244 batang) rokok putih dan keretek seludup pelbagai jenama bernilai RM180.90 di Kedai Serbaneka An-Nisa, Bandar Kinrara, Puchong pada jam 1 petang, 25 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohamad Syafiq Abdul Aziz.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kajang, dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dipenjara sehari dan didenda selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki rokok seludup.

Soon Kee Mun, 70, dan Mohin Uddin didakwa melakukan kesalahan itu di premis perniagaan berasingan di sekitar daerah ini, masing-masing pada 24 Ogos dan 24 April lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap Kee Mun kerana memiliki pelbagai jenama rokok putih dan keretek seludup berjumlah 1,624 batang bernilai RM152.96.

Jika gagal membayar denda itu, Kee Mun bakal berdepan hukuman penjara selama 10 bulan.

Sementara itu, Aina Azahra menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap Mohin selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki 480 peket mengandungi 9,600 batang rokok putih seludup pelbagai jenama di Jalan Tukang, di sini, petang pada 24 April lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dalam prosiding berasingan, seorang pekerja premis warga Indonesia turut mengaku bersalah atas kesalahan sama, namun kes berkenaan ditangguhkan pada 23 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:15 AM