ANTARA jenama rokok seludup  di pasaran sekali gus merugikan negara.
ANTARA jenama rokok seludup di pasaran sekali gus merugikan negara.
Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seorang ibu berusia 37 tahun menangis sebaik dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memiliki 181 peket rokok seludup.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Aminah Bebe Abdul Rahman dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh ditahan 25 Ogos lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam tahun sekiranya gagal membayar denda.

Aminah Bebe didakwa memiliki barang larangan iaitu 3,380 batang rokok antaranya jenama Gudang Garam, John, Canyon serta Luffman bernilai RM436.80 tidak termasuk cukai RM1,871.66.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Flat Seri Sabah, Batu 3 1/2 Cheras, di sini, jam 9.15 malam, Selasa lalu dan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Aminah Bebe yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan perlu menjaga ibu dan anak berusia lapan bulan serta menghidap penyakit darah tinggi.

“Saya minta maaf, lepas ini saya tidak buat lagi. Saya mempunyai penyakit asma dan darah tinggi serta perlu menjaga bayi baru berusia lapan bulan.

“Ibu di rumah juga sakit. Saya merayu dan saya berjanji tidak akan buat lagi kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohd Hatta Satar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang boleh memberi pengajaran terhadap tertuduh.

“Kesalahan dilakukan oleh tertuduh menyebabkan kerugian kepada negara dari segi percukaian tidak berbayar dan perlu diberikan pengajaran untuk kesedaran awam,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan JKDM bermula Isnin sehingga kelmarin, seramai enam peruncit ditahan kerana menjual rokok seludup.

Selari Op Outlet 2.0 Rokok dan Arak Seludup, serbuan tiga hari berturut-turut itu dilaksanakan pihak berkuasa di tujuh negeri iaitu Kedah, Melaka, Terengganu, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, JKDM memberi amaran kepada peniaga supaya tidak melakukan jenayah dengan menjual rokok seludup kerana hukuman berat menanti mereka.

Mereka bukan saja berdepan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan, malah berkemungkinan jenayah mereka akan direkodkan.

JKDM turut mengingatkan supaya tidak memandang remeh amaran itu kerana kebanyakan operasi yang dilaksanakan adalah berdasarkan aduan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:35 AM