Oleh Hafiz Ithnin

Mengikut statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), sebanyak 70 peratus individu berdaftar memiliki pendapatan dibawah RM4,000 sebulan dan majoriti pelanggan agensi berkenaan terdiri daripada golongan berumur dari 25 hingga 45 tahun.

Ini membuktikan mereka gagal merancang kewangan secara teratur menyebabkan timbul masalah hutang pada usia muda.

Perkara ini membimbangkan sekiranya pada usia muda rakyat Malaysia mengalami krisis hutang yang tinggi, ia akan memberi kesan jangka masa panjang bukan saja kepada individu, malah mengakibatkan beban hutang isi rumah yang mempengaruhi perkembangan ekonomi negara.

Berikutan itu, kaedah tabungan langkah terbaik bagi membolehkan kita menyelesaikan masalah kewangan jika perkara itu berlaku.

Malah, kerajaan juga mewujudkan pelbagai tabungan yang boleh digunakan rakyat pada masa depan, antaranya pekerja diwajibkan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun, timbul persoalan adakah dengan hanya bergantung kepada satu tabungan sudah cukup untuk generasi muda pada hari ini bagi meneruskan kelangsungan hidup terutama berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun?

Penasihat kewangan Islam, Hijrah Wealth Management Sdn Bhd (Hijrah Wealth), Rohani Mohd Shahir berkata, golongan muda kini lebih terdedah dengan perbelanjaan tidak terkawal tidak kira sama ada berpendapatan rendah atau tinggi.

Katanya, pembahagian pendapatan mengikut peratusan setiap bulan membantu golongan ini menguruskan kewangan peribadi dengan baik, cermat serta tidak mudah terdedah dengan krisis hutang.

“Apabila kita menerima gaji setiap bulan sekurang-kurangnya 20 peratus daripadanya diperuntukkan untuk tabungan, sekiranya tidak mempunyai komitmen kredit yang tinggi.

“Jika individu itu mempunyai komitmen hutang yang tinggi sekitar 55 peratus daripada pendapatan, sebanyak 10 peratus daripada pendapatan untuk tabungan adalah paling minimum,” katanya.

Pada masa sama, Rohani juga menyarankan supaya generasi muda lebih bersifat kreatif untuk menjana pendapatan menerusi pelaburan dan tidak bergantung kepada satu tabungan saja.

Ini kerana tabungan sedia ada yang diwajibkan untuk golongan pekerja iaitu KWSP seharusnya digunakan dalam tempoh persaraan dan bukan untuk menyelesaikan hutang sebelum tempoh itu.

“Ketika ini, terdapat banyak instrumen pelaburan yang boleh disertai golongan muda antaranya unit amanah, saham biasa yang diluluskan, waran, Dana Dagangan Bursa (ETF), produk perbankan Islam, hartanah dan Tabung Haji.

“Sebagai contoh, jika seseorang melabur dalam amanah saham dengan komitmen RM450 sebulan selama lima tahun dan menerima dividen 10 peratus setiap tahun, mereka boleh mendapat keuntungan RM34,848 yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan lain seperti deposit membeli rumah,” katanya.

Rohani berkata, ketika ini, terdapat langkah mudah untuk membuat pengiraan perbelanjaan menerusi platform pengiraan persaraan yang disediakan KWSP iaitu Kalkulator Simpanan KWSP.

“Kalkulator berkenaan membolehkan pencarum mengetahui sama ada simpanan mereka cukup atau sebaliknya sebelum tempoh persaraan dan ini sangat membantu kita untuk bersedia lebih awal,” katanya.

Menurutnya, golongan muda juga perlu mengutamakan simpanan daripada berbelanja perkara yang bukan keperluan, contohnya sentiasa menukar telefon pintar atau membeli gajet mewah.

Beliau berkata, jika ingin berbelanja seperti membeli kenderaan pastikan ia bukan satu bentuk tanggungan hutang yang membebankan untuk jangka masa panjang.

“Kenderaan sememangnya penting untuk kita bergerak, tetapi membelinya mengikut keperluan dan sesuai dengan kemampuan kewangan kita.

“Jangan terlalu ikutkan trend untuk bergaya, tetapi akhirnya kita gagal untuk melunaskan hutang lain dan lebih parah tidak mempunyai tabungan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan golongan muda mempunyai kad perubatan atau insurans bagi meringankan beban perbelanjaan perubatan sekiranya sakit.

Katanya, ketika ini banyak syarikat insurans menawarkan produk perlindungan perubatan kepada orang ramai mengikut kemampuan ansuran bulanan.

“Justeru, persediaan dari segi kewangan amat penting dan mengambil insurans perubatan sangat membantu kita untuk mengurangkan pembayaran kos hospital dan bayaran lain,” katanya.

Dari segi penggunaan kad kredit pula, beliau berkata, ia satu instrumen pembayaran yang menjadi perhatian golongan muda selain faktor yang boleh mengakibatkan golongan ini terjerat dengan beban hutang.

“Jangan memohon kad kredit sekiranya anda tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik kerana ia akan menjadi perangkap kewangan paling sukar untuk diselesaikan.

“Sekiranya mempunyai kad kredit, gunakan secara berhemah dan membuat pembayaran mengikut jadual ditetapkan memandangkan setiap kelewatan pembayaran, ia dikenakan caj dan kadar faedah,” katanya.

Menurutnya, golongan muda yang suka berbelanja menggunakan kad kredit dan gagal membuat pembayaran dengan baik akan mengakibatkan mereka sukar untuk membuat pembiayaan bagi perkara penting seperti membeli kediaman.

“Golongan muda perlu bijak dalam mengatur kewangan mereka untuk jangka masa panjang dan pendek.

“Pada usia muda adalah permulaan yang baik untuk kita menentukan masa depan kewangan selepas bersara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:23 AM