GOLONGAN muda perlu bijak menguruskan kewangan dan jangan terjerat dengan pembelian sesuatu yang bukan keperluan dengan menggunakan kad kredit.
GOLONGAN muda perlu bijak menguruskan kewangan dan jangan terjerat dengan pembelian sesuatu yang bukan keperluan dengan menggunakan kad kredit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RAMAI pembeli dalam kalangan golongan muda gagal mendapatkan pinjaman perumahan untuk membeli rumah pertama mereka disebabkan profil kewangan yang tidak baik.

Faktor hutang yang ada seperti pinjaman kereta, hutang kad kredit atau pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut berisiko menjejaskan profil kewangan pembeli.

Ini kerana pihak bank akan menilai profil peribadi seseorang pemohon dalam menentukan kemampuannya untuk membuat bayaran balik hutang pinjaman yang diambil

Secara logiknya, sekiranya kita ingin memberi pinjaman kepada seseorang, sudah tentu lebih selamat untuk beri pinjam kepada seseorang yang mempunyai pekerjaan dan kewangan yang stabil.

Perunding Hartanah, Ahmad Firdaus Mahmod berkata, sepanjang lebih 10 tahun berada dalam bidang hartanah, dia berdepan banyak kes pembeli dalam kalangan golongan muda gagal mendapatkan pinjaman perumahan disebabkan profil kewangan yang kurang 'cantik.'

Katanya, pihak bank biasanya akan meletakkan anggaran antara RM1, 000 hingga RM1, 300 (bergantung kepada bank) daripada gaji untuk komitmen kos sara hidup sebelum dicampur dengan komitmen lain.

"Sebagai contoh, jika gaji pemohon adalah RM3, 000 sebulan, RM1, 000 hingga RM1, 300 akan ditolak siap- siap sebagai kos sara hidup.

"Baki yang ada kemudiannya perlu ditolak hutang sedia ada seperti pinjaman kereta, motosikal, kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman pendidikan.

"Jika semua itu dikira dan baki gaji pemohon jauh kurang daripada bayaran ansuran bulanan pinjaman yang dipohon, maka risiko untuk gagal mendapatkan pinjaman adalah tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ahmad Firdaus berkata, adalah penting bagi golongan muda memiliki profil kewangan yang bagus dan mendapat maklumat yang sahih jika mahu membuat pinjaman bank untuk membeli rumah pertama mereka.

Katanya, golongan muda perlu bijak dalam menguruskan kewangan dan jangan terjerat dengan pembelian sesuatu yang bukan keperluan, sebagai contoh penggunaan kad kredit tidak terkawal.

Malah pembayaran hutang kad kredit yang tidak konsisten juga akan menyebabkan kesukaran kepada pembeli apabila membuat permohonan pinjaman perumahan.

"Jika kita mempunyai profil kewangan yang elok, tiada hutang jahat (kad kredit atau pinjaman peribadi), peluang untuk pinjaman diluluskan adalah lebih tinggi.

"Contohnya, jika bergaji RM3,000 sebulan, tetap dapat membeli rumah berharga RM200,000 dengan anggaran bayaran bulanan kepada bank adalah sekitar RM 900 hingga RM1, 000 sebulan.

"Ini kerana selepas dicampur dengan kos sara hidup (RM1,000 hingga RM1,300) dan tidak memiliki hutang jahat, masih ada lagi lebihan gaji kira-kira RM700 sebulan," katanya

Selain itu, Ahmad Firdaus berkata, kekangan utama yang turut dihadapi golongan muda selain masalah profil kewangan adalah ketiadaan wang tunai simpanan sebagai deposit.

Pelabur hartanah dan penulis buku itu berkata, pinjaman untuk perumahan tidak kira baharu atau sekunder (subsale) biasanya 90 peratus sahaja yang diberikan pihak bank dan bakinya perlu ditanggung pembeli.

Namun, kata Ahmad Firdaus, untuk projek perumahan baharu, biasanya pemaju menawarkan beberapa rebat seperti yuran guaman, duti setem dan Memorandom of Transfer (MOT) percuma.

Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan jumlah deposit wang tunai yang perlu disediakan oleh pembeli.

Katanya, berbeza untuk pembelian rumah sekunder, pembeli sekurang-kurangnya perlu menyediakan wang tunai iaitu antara 13 hingga 15 peratus daripada harga rumah untuk membayar yuran guaman, duti setem, MOT dan caj dokumen berkaitan.

"Jika harga rumah sekunder bernilai RM200, 000, wang yang perlu disediakan adalah kira-kira RM28, 000 sama ada secara tunai atau penolakan baki dari akaun dua, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Namun jika memiliki profil kewangan yang baik, tidak mustahil untuk seseorang itu mencuba mendapatkan pinjaman perumahan sebanyak 100 peratus, bergantung kepada markah kredit yang dimiliki," katanya.

Menurut Ahmad Firdaus lagi, sebelum membeli rumah, pastikan apa tujuannya terlebih dahulu sama ada untuk duduk sendiri atau sebagai pelaburan dan disewakan.

Ini kerana, pembelian bagi golongan muda biasanya untuk kategori rumah pertama bukannya rumah impian.

"Sebaiknya, beli rumah pada usia muda kerana lagi lewat usia, lagi tinggi bayaran ansuran bulanannya kerana tempoh bayaran balik pinjaman adalah antara 30 hingga 35 tahun sahaja.

"Membeli rumah juga pada usia muda juga tindakan yang bijak kerana ia adalah satu aset yang sukar mengalami kejatuhan nilai.

"Apapun pesan saya, beli rumah mengikut keperluan dan kemampuan diri sendiri, bukannya mengikut kehendak hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 7:00 AM